Kengerian Neraka

MENGETAHUI sifat neraka, keadaan di dalamnya dan bagaimana menghindari diri daripada dihumban ke dalam neraka adalah sesuatu yang perlu dipelajari agar kita terselamat daripadanya di Hari Kiamat kelak. Allah membahagikan neraka kepada tujuh jenis iaitu Saqar yang merupakan antara neraka yang membakar manusia di dalam keadaan menakutkan iaitu membakar daging tanpa membakar tulang mereka, ia merupakan pintu neraka yang mengazab umat manusia yang tidak mendirikan solat. Neraka Ladza yang membakar kedua tapak tangan dan kaki manusia kerana ketika hidupnya dahulu menderhaka kepada Allah dan tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka mengucap dua kalimah syahadah, namun pada masa yang sama dia mendustakan setiap ajaran yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah.

Manusia yang dihumban ke dalam neraka Jahannam  di dalam keadaan masam mukanya dan azabnya sangat menyiksakan penghuninya. Selain itu neraka Huthamah membakar penghuninya daripada tulang terus ke hati mereka. Neraka Jahim mempunyai bara api sebesar dunia ini dan percikan apinya sudah mampu membakar. Neraka Sair mempunyai nyalaan api yang tidak pernah padam sejak diciptakan oleh Allah SWT dan di dalamnya terdapat ular, kala jengking, rantai dan belenggu. Malah terdapat telaga besar dan kasar, siksaan yang dikenakan terhadap penghuninya sangat memedihkan, saat pintu neraka Sair dibuka sahaja telah menyebabkan penghuninya merasa sedih. Neraka ketujuh ialah Hawiyah, apabila manusia terjatuh ke dalamnya, mereka tidak akan mampu keluar buat selama-lamanya.

Firman Allah di dalam surah al-Israa ayat 97: “Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.”

Malah di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap Khamis jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani turut berkongsi firman Allah di dalam Surah al-Kahfi, ayat 29: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): \”Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya\”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka;  amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” Manusia berada di dalam keadaan yang sangat dahaga sejak mereka dibangkitkan daripada kubur menuju ke Padang Mahsyar. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja yang diberikan Allah untuk minum di Telaga Kauthar. Ada juga di kalangan manusia yang minum nanah, darah dan najis untuk menghilangkan dahaga mereka.

Abu Said al-Qudri menyebut Rasulullah SAW bersabda, api yang mengelilingi setiap penghuni neraka berada di empat sudut. Setiap satu sudut itu sejarak 40 tahun jauhnya di antara satu sama lain yang membakar penghuni neraka itu. Kepungan api ini di alami oleh dua kelompok manusia iaitu orang yang berlaku zalim; menderhaka kepada Allah kerana tidak menutup aurat, tidak membayar zakat, tidak mendirikan solat dan hidup dengan nikmat Allah tetapi melakukan segala perbuatan yang dilarang-Nya. Manakala kelompok kedua yang dikepung oleh api neraka ialah golongan kafir. Kepungan api ini menyebabkan kesedihan dan rasa teramat dahaga kepada penghuninya. Jika mereka meminta air untuk menghilangkan dahaga, mereka akan diberi mendapan minyak yang hitam yang tidak mampu menghilangkan rasa dahaga itu tetapi sebaliknya diberikan cairan tembaga yang akan memusnahkan muka-muka mereka.

Ibnu Kathir menyebut api besar yang mengepung penghuni neraka ialah pagar-pagar atau pengepungan. Keluasan neraka hanya diketahui oleh Allah SWT, kerana tempat duduk bagi seorang kafir sahaja panjangnya seperti jarak di antara Mekah dan Madinah. Ukuran badan penghuni neraka akan dibesarkan berlipat kali ganda, malah gigi geraham penghuni neraka Jahannam itu sahaja sebesar gunung Uhud, kulit mereka setebal perjalanan selama tiga hari dan jarak di antara kedua-dua bahu mereka juga sejauh tiga hari perjalanan. Firman Allah menerusi Surah Qaaf, ayat 30: “(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: \”Adakah engkau sudah penuh? \” Ia menjawab: \”Adakah lagi sebarang tambahan?\”

 Di dalam Surah al-Mulk, ayat 7-9: “Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: \”Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?\” Mereka menjawab: \”Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! \” Abdullah bin Masud menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Neraka jahannam akan  diperlihatkan pada hari kiamat dengan 70,000 utas tali kekang dan setiap satunya ditarik oleh 70,000 para malaikat Allah. Manakala Jabir bin Abdullah pula menyebut Rasulullah bersabda: “Aku telah diberi izin oleh Allah untuk menceritakan keadaan satu malaikat, yang memikul dan menjaga arasy,  jarak di antara cuping telinganya sehingga tengkuknya ialah sama dengan 700 tahun perjalanan.

Di dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah karangan Imam Qurtubi, Imam al-Ghazali mentafsirkan bahawa: “Mereka melihat neraka sedang berjalan di atas empat tiang yang dikendalikan oleh 70,000  utas tali kekang, setiap tali itu ditarik oleh 70,000 para malaikat yang pada setiap tangannya membawa lingkaran tertentu. Seandainya seluruh besi dikumpulkan di dunia ini, tidak mampu menyamai satu pun lingkaran. Manusia pada waktu tersebut di dalam keadaan amat takut, manakala neraka akan menanti manusia yang sedang bergerak untuk dihumban ke dalamnya dengan bunyi yang sangat mengerikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 November 2016
WhatsApp
Scroll to Top