PROFESOR Madya Dr Khalif Muammar A.Harris dalam rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, baru-baru ini telah membincangkan berhubung “Kecelaruan Pemikiran Golongan Liberal”. Ada beberapa persoalan pokok yang membawa kepada salahfaham golongan Liberal di mana yang pertama sekali ialah kononnya sistem pemerintahan Islam itu bersifat teokrasi sedangkan sistem demokrasi Barat sepertimana yang diperjuangkan oleh tokoh mereka seperti John Locke (m.1704) bersifat “rule of law” atau kedaulatan undang-undang. Kedua, kata mereka pemerintahan itu hendaklah sifatnya “Limited government” bukannya kerajaan yang mempunyai hak-hak luas tetapi terbatas. Manakal aspek ketiga ialah kerajaan yang bersifat perlembagaan atau “Constitutional government” iaitu pemerintahan berdasarkan perlembagaan.
Kedaulatan syariah itu sebenarnya adalah salah satu aspek daripada ajaran Islam dan dalam pemerintahan sesebuah kerajaan Islam. Sejak zaman Imam Mawardi lagi misalnya telah meletakkan bahawa wujudnya perjanjian antara pemimpin dan rakyat (‘aql al-wakalah) di mana pemimpin dilantik untuk memimpin berdasarkan konsep syura. Pemimpin di sisi Ahlul Sunnah wal Jamaah ialah mereka yang dipilih oleh rakyat tidak seperti Syiah di mana pemimpin itu dilantik berdasarkan nass dan dalil bukan dipilih oleh rakyat. Perintah untuk melakukan Syura merupakan perintah Allah SWT yang dituntut dilaksanakan oleh setiap dari kita samada rakyat mahupun pemimpin. Justeru kerana itu adalah tidak benar jika sistem pemerintahan Islam itu dituduh sebagai sistem teokrasi, kuku besi, totalitarianisme, diktator atau seumpamanya kerana pertama pemimpin itu dipilih oleh rakyat dan kedua pemimpin yang dipilih itu tidak boleh berbuat sesuka hati mengikit kehendak dan nafsu mereka tetapi hendaklah berdasarkan tuntutan al-Qur’an dan al-Hadith. Sistem pemerintahan Islam sebegini bukan sejak munculnya faham demokrasi, tetapi sebaliknya sejak awal kedatangan Islam lebih 1400 tahun dulu lagi. Demokrasi muncul sejak abad ke-16 apabila tokoh-tokoh seperti Jock Locke itu lahir, namun ajaran Islam ini jauh lebih awal dari iaitu pada abad ke-7 Masehi lagi, lebih 1000 tahun mendahului Barat dari segi mewujudkan sistem pemerintahan yang adil dan saksama, dan menjamin hak-hak rakyat dan hak golongan minoriti terjamin.
Justeru kerana itu, sewajarnya kita jangan merasa terhina atau rendah diri dengan gagasan pemikiran dan ideologi Barat yang dikemukakan kerana idea-idea itu semuanya bukanlah idea-idea yang baharu tetapi sebaliknya idea-idea lama milik ajaran Islam melalui penulisan para sarjana Islam yang disusun dan dipakejkan kembali dengan wajah yang lebih menarik.
Sebagai seorang Islam, sewajarnya kita merasakan bahawa ajaran Islam itulah ajaran yang terbaik dan ajaran yang sesuai sepanjang zaman. Sebab itu kita kena mengkaji dan menggali agar kita faham benar tentang ajaran Islam. Yang menjadi masalah hari ini ialah golongan Liberal Islam ini mudah mempercayai tulisan-tulisan para Orientalis Barat yang memburuk-burukkan ajaran Islam konon mendakwa sistem pemerintahan Islam itu zalim dan kejam. Golongan Liberal Islam hari ini lebih buruk daripada golongan Muktazilah di zaman awal Islam lagi. Jika golongan Muktazilah hanya menyesuaikan ajaran Islam dengan akal mereka, golongan Liberal Islam hari ini pula meletakkan ajaran Islam itu di bawah akal mereka hingga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Mereka meletakkan agama itu perlu tunduk kepada Liberalisma Barat sebagaiman contoh yang pernah disebutkan sebelum ini tokoh bernama Abdullah al-Naim yang mendakwa bahawa apa sahaja ajaran Islam dan Syariat Islam yang bertentang dengan hak-hak asasi manusia itu perlu diubah dan dirombak kerana pada pandangannya hanya ayat-ayat yang diturunkan di Mekah sahaja yang bersifat absolut tetapi yang diturunkan di Madinah itu bersifat lokal dan boleh diubah. Ini pandangan yang tidak pernah dibawa oleh mana-mana sarjana Islam muktabar Islam.
Begitu juga golongan Liberal Islam ini turut menghalalkan hubungan homoseksual sesama jenis sepertimana yang wujud di Indonesia dan kita merebak di Malaysia juga kononnya tiada tegahan dalam Al-Qur’an berhubung larangan ini, dan kata mereka lagi kononnya selama mana boleh mewujudkan mawaddah dan rahmat iaitu kasih sayang dan kemesraan maka ianya dibenarkan. Ini jelas merupakan usaha untuk meletakkan ajaran Islam dan Syariat Islam di bawah telunjuk nafsu dan akal yang bebas sepertimana anutan golongan Liberal Barat.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 November 2016