TASAWUF ditakrifkan sebagai “pengamalan syariat pada maqam Ihsan”. Namun hari ini ramai termakan dengan momokan yang sering diwar-warkan khususnya di kalangan para Orientalis Barat pada abad ke-19 lagi seperti Ignaz Golziher, Reynold A. Nicholson dan ramai lagi yang melihat tasawuf itu pengaruh daripada ajaran asing yang luar dari Islam seperti Hindu, Buddha dan Neo-Platonisma. Itu adalah pandangan para Orientalis Barat yang tidak memahami hakikat tasawuf itu sendiri yang melihat seolah di sana ada sedikit persamaan, malangnya ianya turut dikembangkan oleh cerdik pandai Islam khususnya di kalangan reformis dan pseudo-Salafi yang terpengaruh dengan pandangan ini. Sebelum ini telah kita jelaskan berhubung Hadith Jibril yang menyebut bahawa Jibirl AS telah bertanyakan kepada Baginda SAW berhubung “apa itu Islam”, ‘apa itu Iman” dan “apa itu Ihsan”? . Hadithi ini merupakan sandaran kepada ajaran tasawuf dalam Islam.
Ulama yang terkenal dari Fez Maghribi, Sheikh Ahmad Zarruq (w.1493) dalam bukunya “al-Qawaid al-Tasawuf” mensyarahkan bahawa ketiga-ketiga persoalan yang ditanyakan oleh Jibril AS itu merujuk kepada maqam. Maqam pertama ialah maqam Islam di mana seseorang itu perlu mempelajari hukum-hakam dan ilmu ini dikenali sebagai ilmu fekah. Maqam Imam pula memerlukan seseorang itu memahami Islam dengan lebih mendalam melalui mempelajari ilmu aqidah atau disebut juga usuluddin, ilmu kalam atau ilmu sifat 20 di mana dengan mempelajari ilmu ini seseorang itu akan mampu memiliki ilmu aqidah yang kukuh dan mantap dan tidak mudah terpesong dengan ajaran-ajaran batil dan sesat. Maqam ketiga disebut maqam Ihsan di mana ajaran tasawuf memainkan peranan yang penting pada maqam ini bagi membersihkan jiwa dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Tasawuf ini wujud di zaman Baginda SAW, diamalkan oleh Baginda SAW dan para Sahabat RA namun pada ketika itu ia tidak dipanggil tasawuf tetapi hakikatnya telah ada. Kerana itu para ulama menyebut bahawa “tasawuf ini dulu hakikat tanpa nama, kini nama tanpa hakikat”.
Banyak ayat-ayat dalam al-Qur’an merujuk kepada segolongan umat Islam yang mengkhususkan diri mereka bersama Baginda SAW untuk beribadat kepada Allah SWT, berzikir, menuntut ilmu dalam mencari keredhaan Allah SWT. Pernah berlaku di mana Baginda SAW diminta oleh segolongan mereka yang ingin memeluk Islam namun mensyaratkan agar Baginda SAW meninggalkan golongan ahlul suffah. Namun, baginda SAW diminta agar bersabar dengan golongan ini dan jangan terpengaruh dengan ajakan mereka yang mahu memeluk Islam yang meletakkan syarat tersebut.
Nabi SAW menghabiskan banyak masa bersama dengan Ahlul Suffah iaitu mereka jelas niat mereka yang mencari redha Allah, antaranya Salman al-Farisi RA, Abu Dhar al-Ghifari RA yang dikenali sebagai ahlul Suffah yang mengkhuhuskkan diri mereka menuntut ilmu dan tidak menyibukkan diri mereka dengan perhiasan duniawi.
Imam al-Qurtubhi turut mengutip kata-kata Imam Malik bahawa sesiapa yang bertasawuf tanpa mendalami ilmu fekah itu akan menjadi zindiq dan sesiapa yang fekah tanpa tasawuf dia akan menjadi fasiq dan sesiapa yang menggabungkan kedua-duanya barulah dia mencapai hakikat sebenar ajaran Islam.
Tasawuf adalah pengamalan syariat pada maqam yang tinggi iaitu Ihsan. Intipati kepada tasawuf dijelaskan dalam al-Qur’an di mana Allah SWT menyebut bahawa manusia ini mempunyai jiwa yang diberi kecenderungan di mana jiwa boleh menjadi orang yang engkar, dan orang yang taat. Lalu Allah SWT menyebut lagi bahawa beruntunglah mereka yang menyucikan diri mereka dan rugilah mereka yang mengotorkan diri mereka. Tema tasawuf ialah menyucikan hari. Bahkan Nabi SAW itu diutuskan salah satunya ialah untuk menyucikan manusia (yuzakkihim) iaitu membersihkan manusia daripada sifat-sifat keji.
Penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) bukan perkara yang mudah. Ada ulama yang memerlukan 40 tahun untuk membersihkan jiwanya, dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menundukkan nafsunya agar menjadi nafsu yang tenang, damai dan tidak lagi memiliki nafsu yang buas. Istilah disebut jihad yang besar juga sering dirujuk kepada jihad melawan hawa nafsu. Ada kisah abid yang beribadat 100 tahun yang merasakan dirinya akan masuk syurga namun di akhir hayatnya beliau tergoda dengan pujukan iblis lalu mengikut hawa nafsunya dan beliau mati dalam keadaan derhaka kepada Allah SWT.
Seorang yang memiliki ilmu, dan banyak beribadat jangan merasa dirinya selesa kerana yang penting ialah dia mestilah ikhlas kepada Allah SWT. Kalau dia ghurur maka segala amalannya itu sia-sia belaka.
Tasawuf ini penting dalam membicarakan tentang pendidikan jiwa, akibat daripada momokan golongan yang menakutkan kononnya ada tarekat yang sesat. Walaupun tidak dinafikan ada tarekat yang sesat, namun itu bukan menjadi alasan dan hujah untuk menolak tasawuf dan sesat sepertimana wujudnya segelintir umat Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam bukan bermakna ajaran Islam itu tidak benar.
Ilmu tasawuf ini amat penting dalam pendidikan kita namun sistem universiti hari ini tidak begitu menitikberatkan pendidikan rohani ini sedangkan universiti atau “jami’ah” dan “kuliyyah” sepatutnya melahirkan manusia beradab atau insan adabi kerana tujuan pendidikan ialah melahirkan manusia beradab, yang sempurna dan kamil sepertimana contoh peribadi Baginda SAW yang dirakamkan dalam al-Qur’an melalui Surah al-Qalam ayat 4: “Sesungguhnya kamu (Muhammad) memiliki akhlak budi pekerti yang agung”. Justeru itu, pendidikan sepatutnya bertujuan untuk melahirkan insan yang menyeluruh sifatnya dengan budi pekerti mulia dan agung sepertimana Baginda SAW.
Disebabkan universiti hari ini tidak menitikberatkan akhlak dan nilai-nilai murni yang ditekankan dalam ilmu tasawuf, hari ini walaupun kita melahirkan ramai graduan yang hebat dari segi kajian dan pemikiran pelbagai disiplin ilmu, namun graduan ini ketandusan akhlak dan adab kerana ketika pengajian mereka, mereka tidak ditekankan tentang kepentingan ilmu tasawuf yang membina peribadi unggul dan mulia ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 Oktober 2016