UMAT Islam di nusantara ini seharus berpegang teguh kepada manhaj yang dibawa oleh para ulama di kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah kerana inilah pendekatan yang paling terbaik, moderat dan tidak melampau atau radikal. Jika sebelum ini dibicarakan berhubung wujudnya kumpulan yang radikal kiri iaitu kelompok yang menolak al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai dalil dan hujah, kita juga berdepan dengan kelompok radikal kanan iaitu mereka yang mengambil tafsiran secara zahiri atau literal teks al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja tanpa mengambil kira dalam yang diajarkan oleh Baginda SAW, demikian ujar Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM) dalam rancangan Tarbiyyah pada hari Jumaat jam 10.15 pagi radio IKIMfm.
Agama Islam yang dibawa oleh Baginda SAW adalah agama yang berdasarkan ilmu atau kebenaran (haq) dan oleh kerana itu agama ini tidak terhad hanya kepada teks semata-mata. Kecenderungan segelintir masyarakat hari ini yang bertanyakan adakah sesuatu amalan itu mempunyai dalil al-Qur’an dan al-Sunnah secara khusus adalah salah satu contoh kekeliruan mereka dalam memahami prinsip-prinsip asas ajaran Islam. Bagi mereka ini, jika tiada, maka dikatakan itu amalan “Bid’ah” dan sesat. Sebenarnya, tidak semua amalan-amalan umum itu mesti ada dalil-dalil khusus untuk diamalkan maka barulah boleh diamalkan, di sisi para ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah, memadai di sana ada dalil-dalil umum yang menganjurkan amalan-amalan seumpama itu sudah mewajarkan ianya diamalkan. Di sinilah perlu digunakan akal fikiran untuk melihat adakah prinsip-prinsip ajaran Islam itu masih terpelihara atau dirosakkan melalui pengamalan amalan tersebut. Islam tidak pernah menolak penggunaan akal dalam memahami apakah kehendak al-Qur’an dan al-Sunnah itu tadi.
Ajaran Islam tidak terhad kepada teks tetapi sebaliknya Baginda SAW sendiri menterjemahkan apa yang dikehendaki oleh al-Qur’an dan al-Sunnah dalam kehidupan harian Baginda SAW. Baginda SAW bukan sekadar memadai membawakan al-Qur’an atau menuturkan kalamnya, tetapi Baginda SAW mencontohkan pemahaman al-Qur’an dan al-Sunnah itu dalam kehidupannya. Begitu juga Baginda SAW mengajarkan para Sahabat RA agar menghayati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah sehingga mereka semuanya mewarisi ajaran Baginda SAW sepertimana yang Baginda SAW sendiri amalkan. Ajaran Islam itu hidup dalam diri Baginda SAW dan kemudiannya para Sahabat RA dan kemudiannya para Tabiin dan seterusnya Tabi’ Tabiin hinggalah Islam itu dibawa Alam Nusantara Melayu ini dan dikembangkan oleh para ulama kita.
Oleh kerana itu, kita kena menghormati para ulama pendahulu kita dan mereka yang membawa ajaran Islam dan mengembangkannya di alam Melayu ini. Inilah pemahaman Islam dan penghayatannya yang sebenar yang telah diambil dari para alim ulama dari setiap zaman hinggalah kembali kepada Baginda SAW. Kecendurangan segelintir masyarakat hari ini yang membuang sekalian para ulama khususnya ulama-ulama dari alam nusantara ini seperti Sheikh Daud al-Fatani, Sheikh Arshad al-Banjari, Sheikh Abdul Samad al-Falimbānī dan ramai lagi lalu ingin terus memahami ajaran Islam daripada teks al-Qur’an dan al-Sunnah seolahnya meletakkan diri mereka ini lebih alim dan hebat daripada sekalian para ulama ini. Begitu juga dari segi zaman, sudah pastilah para ulama di awal kurun Islam itu mereka lebih memahami ajaran Islam yang sebenar dan tulen kerana mereka lebih dekat dengan Baginda SAW berbanding dengan kita pada hari ini. Namun tidak dapat dinafikan apabila zaman berubah dan suasana bertukar, ada hukum-hukum tertentu yang perlu diubah sesuai dengan peredaran zaman. Berijithad dalam hal-hal muamalat yang baharu yang belum pernah dibuat oleh para ulama silam, atau illah hukum juga sudah berubah, maka disinilah perlunya seorang mujaddid.
Dalam hal ini konsep yang dibangunkan oleh Imam Malik RA yang disebut sebagai “amal Ahlul Madinah” demi menjaga keaslian dan kemurniaan Islam kerana ahli Madinah adalah mereka yang berpegang teguh kepada ajaran Bagindsa SAW. Bahkan bagi Imam Malik RA, dalam sesetengah hal amalan Ahlul Madinah itu lebih diutamakan daripada sesetengah hadith yang tidak kuat. Begitu juga Imam al-Shafie RA memperkenalkan konsep “al-sunnah” yang membawa maksud “tradisi” yang diasaskan oleh Baginda SAW dan diperturunkan. Oleh kerana itu kita adalah digelar “ahlul Sunnah” iaitu mereka yang mengikut tradisi Baginda SAW, dan bukan “Ahlul Nusus” yang merujuk kepada mengikut teks semata-mata. Apabila disebut tradisi, kita janga terkeliru dengan tradisi jahiliah atau tradisi yang bertentang dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat kita. Traidisi sebegini tidak boleh dipertahankan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Oktober 2016