ALLAH SWT merahmati orang yang salih dan golongan ini mendapat perkhabaran gembira di dunia dan akhirat dengan beroleh keredhaan Allah. Selain itu, kita digalakkan untuk menziarahi dan bergaul dengan orang-orang yang salih agar turut mendapat keberkatan daripada Allah kerana lidah mereka sentiasa basah menyebut dan mengingati Allah. Suffian bin Uyainah menyebut, “Jika disebutkan nama orang salih, maka akan turunnya rahmat dan keberkatan”. Walaupun dengan hanya menyebut nama-nama mereka, akan menyebabkan turunnya rahmat Allah dan apatah lagi jika kita sering menyebut tentang Rasulullah SAW yang merupakan penghulu orang-orang salih.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik RA, selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA menziarahi rumah Ummu Aiman kerana ketika Rasulullah masih hidup, Baginda sentiasa menziarahi beliau. Ketika tiba, mereka melihat Ummu Aiman sedang menangis dan ditanya kenapa beliau bersedih sedangkan pada ketika itu Rasulullah sudah berada pada kedudukan yang lebih baik disisi Allah. Ummu Aiman berkata, “Aku tidak menangis kerana mengetahui Baginda berada di tempat yang lebih baik disisi Allah. Namun begitu aku menangis kerana wahyu telah terputus dari langit.” Mendengar jawapan Ummu Aiman itu, membuatkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA turut menangis. Berdasarkan hadis ini menunjukkan para sahabat saling menziarahi orang-orang yang salih di kalangan mereka.
Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre melalui perkongsiannya di dalam slot Mau’izati pada Khamis, jam 5.15 petang yang ke udara di IKIMfm menyebut, Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, ada seorang pemuda yang bermusafir untuk menziarahi saudaranya. Ketika dia bermusafir, Allah mengutuskan seorang malaikat untuk bertemu pemuda itu dan bertanya kepadanya kemanakah destinasi tujuannya. Pemuda itu menyatakan hasratnya untuk menziarahi saudaranya di kampung tersebut. Malaikat bertanya adakah ziarahnya itu mempunyai maksud tertentu. Lalu dijawab pemuda itu bahawa dia tidak mempunyai tujuan tertentu kecuali menyayangi saudaranya itu kerana Allah. Malaikat memberitahu pemuda itu bahawa dia diutuskan Allah, sesungguhnya Allah telah mencintainya sebagaimana cintanya terhadap saudaranya itu.
Rasulullah SAW apabila ditanya oleh seorang Badwi bilakah akan berlakunya hari Kiamat, Baginda bertanya kepadanya adakah dia sudah membuat persiapan untuk menghadapinya. Pemuda itu berkata dia tidak melakukan apa-apa persediaan dan tidak banyak melakukan amalan selain mencintai Allah dan Rasul-Nya. Lalu Rasulullah berkata, “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau sayangi.” Mudah-mudahan apabila kita menyayangi orang-orang yang salih dan para ulama, Allah akan mengumpulkan kita bersama mereka.
Namun menziarahi orang-orang yang salih tidak seharusnya dilakukan ketika mereka masih hidup, bahkan setelah mereka meninggal dunia juga masih ada tuntutan untuk menziarahi kubur golongan ini. Sesungguhnya menziarahi kubur itu mengingatkan kita kepada hari Akhirat, mendapat iktibar dan akan diberi ganjaran pahala kerana ia merupakan satu sunnah. Imam al-Zahabi menyebut doa dekat kubur para nabi dan para salihin adalah salah satu doa yang mustajab dengan syarat diperbetulkan akidah dengan memohon doa kepada Allah dan hanya mengambil keberkatan daripada Allah. Menziarahi golongan salih mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Ataillah al-Sakandari, kita boleh meniru sesuatu daripada seseorang itu apabila kita duduk bersama-samanya. Apabila duduk dengan orang yang sedang bersedih, kita juga akan turut bersedih. Apabila duduk bersama dengan orang yang gembira, kita juga akan merasa gembira. Begitu juga sekiranya duduk bersama orang yang lalai, maka kita juga akan lalai. Perhatikan dengan siapa kita duduk bersama dan janganlah berkawan melainkan orang yang akan menunjukkan kita kepada Allah dan sudah tentulah mereka adalah di kalangan orang-orang yang salih.
Menziarahi orang-orang salih perlu disertakan adab-adab tertentu, seperti memohon keizinannya terlebih dahulu. Selain itu ziarahilah mereka di dalam keadaan kenyang agar tidak menyusahkannya atau kita sendiri membawa makanan. Elakkan juga mengambil masa yang lama ketika menziarahi orang-orang salih, sebagaimana para sahabat menziarahi Rasulullah SAW. Pastikan tujuan menziarahi mereka adalah jelas, iaitu duduk bersama orang-orang salih akan beroleh keberkatan dan rahmat Allah, selain mengambil ibrah pengajaran daripada pertuturannya yang baik, perbuatannya yang mendatangkan manfaat. Ketika berada bersama mereka, kurangkan bercakap dan mendengar dengan baik, memohon nasihat dan tunjuk ajar. Digalakkan juga membawa bersama ahli keluarga terutamanya anak-anak walaupun usia mereka masih terlalu muda kerana dengan mendekati orang-orang salih akan memberi contoh dan didikan terbaik kepada mereka.
Para ulama feqah juga mengingatkan agar menjaga adab ketika menziarahi kubur atau makam orang-orang salih dengan mengelakkan amalan memegang atau mengusap dinding makam, batu nisan dan sebagainya, kerana perbuatan tersebut tidak beradab dan diibaratkan seperti sekiranya mereka masih hidup juga adalah tidak wajar diperlakukan sedemikian pada anggota badannya walaupun bertujuan untuk mengambil keberkatan daripada perbuatan tersebut. Sebagaimana kita juga menjaga adab ketika menziarahi makam Rasulullah dengan tidak bercakap dengan suara yang kuat. Bahkan Imam Malik berjalan di Madinah dengan penuh beradab kerana begitu menghormati Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatan Baginda dan mengajar di masjid dengan suara yang tenang dan melarang sesiapa pun meninggikan suara di dalam Masjid Nabawi.
Roh orang-orang yang sudah meninggal dunia boleh menziarahi di antara satu sama lain. Namun segala amalan yang dinilai kelak dilakukan ketika manusia masih hidup di dunia. Oleh itu sebelum kembali menghadap Allah SWT, ambillah kesempatan untuk menziarahi orang-orang salih dan mengambil pengajaran sebanyak mungkin sebelum berakhirnya kehidupan kita dan jangan sekali-kali dilalaikan kehidupan di dunia ini dengan hanya mengejar pangkat dan harta yang akhirnya hanya mendatangkan kerugian yang besar.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 Oktober 2016