RASULULLAH SAW menyebut, sebaik-baik manusia ialah mereka yang dipanjangkan umurnya dan semakin cantik amalannya. Seburuk-buruk manusia ialah orang yang Allah panjangkan usianya tetapi masih lagi melakukan maksiat dan masih lagi tidak mengubah dirinya untuk menjadi semakin taat kepada perintah Allah. Apabila menyebut tentang hijrah ia bukan hanya sebuah perpindahan malah di sudut kejadian manusia sendiri, kita dihijrahkan oleh Allah. Sebagai contoh dihijrahkan daripada usia yang muda menjadi lebih dewasa dan tua, kemudian dimatikan dan berhijrah ke alam barzakh dan menjalani kehidupan di alam seterusnya.
Apabila berhijrah ke alam kubur kita akan meninggalkan segala yang dimiliki ketika hidup di dunia. Fokuskan segala yang dilakukan di dalam kehidupan seharian kepada jalan menuju akhirat. Jangan sesekali jika berlakunya kematian secara tiba-tiba, alangkah ruginya kita jika dimasukkan ke dalam neraka Allah. Biarlah kehidupan ini bermanfaat, iaitu walaupun tempoh kehidupan itu singkat namun apabila menemui kematian kelak, kubur itu berubah menjadi taman syurga untuk dihuni ketika berada di alam barzakh. Apa yang ditakuti apabila kubur menjadi kawah neraka, malah ramai di kalangan manusia yang mengalami situasi demikian.
Firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat 97: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan dengan agamamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang ditindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?”. Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”
Sebagaimana yang disebut oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati pada setiap hari Khamis di IKIMfm am 5.15 petang, ada di kalangan manusia yang hidup di atas muka bumi ini yang tidak sedikitpun merasa takut melakukan maksiat dan perkara yang dilarang Allah secara terang-terangan. Malah golongan yang lupa akan segala peringatan Allah ini, akan dibukakan kepada mereka segala pintu maksiat di muka bumi ini sehingga kemuncaknya mereka merasa seronok di atas segala perlakuan maksiat yang telah mereka lakukan. Ketika berada di dalam keadaan tersebut, tiba-tiba Allah rentapkan nyawanya dan menemui kematian di dalam keadaan tercengang sewaktu menghadap di hadapan Allah.
Berhijrahlah menuju syurga Allah dengan menjaga agama Allah ketika hidup di dunia, bersungguh menghadapi ujian Allah, dan berdoa agar sentiasa berada di jalan-Nya. Sewaktu hampir dengan saat kematian, malaikat turun dan berkata: “Janganlah kamu takut dan berdukacita. Khabar gembira daripada Allah, yang akan disediakan syurga untuk dirimu seperti yang dijanjikan oleh Allah kepada dirimu.” Orang mukmin tidak merasa takut dengan kematian, tetapi merasa bimbang dan takut terhadap dosanya sendiri. Berlaku pada zaman Rasulullah SAW, apabila Baginda menziarahi seorang pemuda yang hampir dengan kematian dan Baginda bertanya, “Wahai pemuda, apakah perasaan kamu pada saat ini?” Pemuda menjawab, “Ya Rasulullah, di dalam dadaku terkumpul dua perkara iaitu perasaan takut terhadap dosa-dosa dan perasaan berbaik sangka kepada Allah, kerana walaupun aku masih muda tetapi terpaksa menghadap Allah pada waktu ini. Rasulullah berkata, “Wahai pemuda tidak ada seorang pun yang Allah jadikan pada dirinya dua ketakutan pada suatu masa. Mana-mana orang yang takut akan dosa yang dilakukannya ketika hidup di dunia, Allah akan amankannya di Padang Mahsyar dan di alam barzakh nanti. Bagi orang yang tidak takut akan dosanya ketika di dunia, maka Allah akan jadikan ketakutan yang amat sangat bagi dirinya ketika menghadap di hadapan Allah kelak”.
Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menjadikan diri kita layak menjadi penghuni syurga Allah ialah berhijrah dengan menambah ilmu dan sentiasa belajar agar menjadi manusia yang lebih terdidik serta lebih baik dalam hidup. Allah mengangkat darjat orang yang beriman di kalangan orang yang berilmu, malah orang yang kurang ilmunya tidak pandai beradab sesama manusia dan tidak melihat kematian sebagai iktibar buat dirinya. Ilmu membentuk peribadi manusia dan membantunya mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu belajarlah ilmu al-Quran, fahami dan hafazlah, malah tanda manusia bersedia untuk dihijrahkan oleh Allah ialah apabila terasa manisnya membaca al-Quran sehingga mampu mengkhatamnya sekerap mungkin.
Belajarlah hadis untuk mengenali dan merapatkan diri kita dengan Rasulullah SAW, dan mulut akan sentiasa berselawat kepada Baginda. Selain itu tanamkan keinginan dan kemahuan yang tinggi di dalam diri untuk melakukan perubahan dan menjadi ahli syurga Allah. Seterusnya perlu ada pada setiap individu sikap saling sokong di antara satu sama lain untuk berhijrah menuju syurga Allah, sama ada pemimpin membimbing rakyat ke jalan Allah atau rakyat membantu pemimpin agar terlepas daripada soal-jawab ketika menghadap Allah nanti, suami membimbing isteri dan anak-anak untuk dibawa bersama ke syurga, manakala anak-anak membantu ibu dan ayahnya agar tidak melakukan perkara yang terlarang sehingga menghalang mereka memasuki syurga Allah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Oktober 2016