Ibadah Haji Sebagai Perjalanan Rohani

TASYRIK berasal daripada kalimah Arab ‘Syarq’ iaitu bermaksud bercahaya. Hari tasyrik yang berlangsung pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah dimana disiang harinya bercahaya dengan cahaya matahari dan malamnya akan diterangi cahaya bulan. Pada tarikh tersebut juga akan memberi kemudahan kepada para jemaah haji yang bermalam di Mina untuk mendapatkan cahaya pada waktu malam. Hari tasyrik yang juga merupakan ‘hari cahaya’ membawa erti kepada umat Islam agar dapat melalui kehidupan dengan cahaya petunjuk dan hidayah dari ALLAH SWT disamping perlaksanaan ibadah korban yang sinonim dengan pada hari tersebut. Justeru itu, sempena umat Islam mengerjakan ibadat haji dan memperingati peristiwa penting yang dicatat dalam sejarah Islam ini, Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary bersiaran menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu membawa kepada topik perbincangan ‘Ibadah Haji Sebagai Perjalanan Rohani’.

Seruan kepada ibadah Haji telah dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam Al-Quran melalui surah Al-Haj ayat 27 yang bermaksud, \”Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”. Dalam ayat ini menjelaskan seruan dari ALLAH SWT yang merupakan satu panggilan-Nya kepada umat Islam untuk mengerjakan ibadah tersebut yang datang dari pelbagai negara.

Seruan yang dinyatakan ini sama seperti seruan solat yang hadir melalui laungan azan. Apabila laungan azan itu bergema, setiap lafaznya membawa erti penting kepada umat Islam supaya mengakui ALLAH SWT sebagai pencipta dan bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh ALLAH SWT serta menyeru melaksanakan ibadah Solat dan menuju keyajaan. Orang-orang yang telah dijemput bagi mengerjakan ibadah Haji, mereka adalah pilihan dari ALLAH SWT dan perkara ini merupakan sebuah anugerah dari-Nya.

Ibadah Haji yang dikatakan sebagai perjalanan rohani membawa satu mesej yang sangat luas dimana  seruan ibadah itu telah disahut oleh setiap umat Islam yang berada di seluruh dunia pada hari ini.  Setiap umat Islam yang mendapat seruan itu, mereka akan melaksanakan ibadah Haji dengan rukun-rukun tertentu dan syarat yang telah ditetapkan. Salah satu tempat dan kawasan mengerjakan ibadat Haji adalah di Arafah yang mempunyai kisah disebaliknya. Arafah adalah bermaksud mengetahui. Berdasarkan kepada penjelasan dan pendapat ulama’, di kawasan Arafah itu mempunyai tiga peristiwa utama yang berlaku pada nabi-nabi ALLAH SWT.

Pertamanya, ketika Nabi Ibrahim A.S bermimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S, baginda cuba memikir dan mencari jawapan terhadap mimpi yang dilaluinya. Baginda kemudian keluar dari kota Mekah dan setelah sampai di suatu tanah yang lapang, baginda telah mendapat jawapan tentang mimpinya itu, lalu dinamakan kawasan itu sebagai Arafah. Peristiwa kedua, nama Arafah itu juga diambil apabila baginda Nabi Ibrahim A.S mengetahui cara perlaksanaan untuk mengerjakan Haji yang diajar oleh malaikat Jibril A.S. Akhir sekali, terdapat pendapat mengatakan bahawa kawasan bernama Arafah ini juga diambil sempena peristiwa Nabi Adam A.S dan Siti Hawa mengetahui cara untuk bertaubat kepada ALLAH SWT yang diajarkan oleh malaikat Jibril A.S dan bertemu di Jabal Rahmah setelah dikeluarkan dari syurga. Oleh itu, disebalik nama Arafah itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang perlu diambil oleh setiap umat Islam melalui kisah pengorbanan daripada nabi-nabi ALLAH SWT.

Ibadat Haji merupakan sebuah perjalanan bererti ‘Isra’ simbolik seperti perjalanan Isra’ Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah SAW. ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Isra ayat 1 yang bermaksud, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. Ayat ini menerangkan sebuah perjalanan hebat dan istimewa yang ALLAH SWT berikan kepada Rasulullah SAW untuk menerima seruan solat supaya disampaikan kepada seluruh umat Islam. Oleh itu, Haji dan Isra’ Mikraj mempunyai kaitan terhadap sebuah perjalanan rohani untuk menerima panggilan, diberikan kemudahan serta dibekalkan kekuatan dari ALLAH SWT.

Sebelum memulakan perjalanan Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW telah dibelah dada dan dibersihkan hatinya oleh malaikat Jibril A.S sebagai tanda bersihnya hati seluruh umat Islam. Justeru itu, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, haruslah membuat persiapan rohani dan jasmani dengan membersihkan diri dari dosa-dosa bermulanya dari bulan Ramadan lagi. Haji yang mabrur dapat dicapai dengan hati dan jiwa yang bersih serta mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Sebelum memulakan perjalanan menunaikan Haji, amalan pada bulan Ramadan seperti kiyamulai, bertadarus Al-Quran, berzikir, memohon keampunan kepada ALLAH SWT serta bermaaf-maafan sesama manusia ketika Syawal menjadikan para jemaah lebih bersiap-sedia dari segi pembersihan hati, jiwa dan rohani untuk menyahut seruan Haji apabila tibanya bulan Zulhijjah kelak.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, ”Haji mabrur itu tiada balasan yang lain kecuali syurga”(Riwayat Abu Hurairah). Ibadah Haji merupakan ibadah yang besar dan kemuncak dalam ajaran Islam. Sememangnya, menjadi lumrah dalam kehidupan manusia apabila hendak melakukan perkara yang besar, maka ia perlu dirancang dengan baik. Dengan merancang maka akan datanglah kemampuan.  Oleh itu, sahutlah panggilan Haji dan petunjuk dari ALLAH SWT seperti yang dinyatakan dalam surah Ali-Imran ayat 96 yang bermaksud, “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 September 2016
\"2016-09-21\"
WhatsApp
Scroll to Top