Salah Faham Sesama Islam

ANTARA salahfaham yang wujud dalam segelintir masyarakat kita juga ialah memandang akal tidak berperanan langsung dalam menentukan sesuatu pandangan dalam hidup beragama. Tiada dalil dalam al-Qur’an dan al-Sunnah itu bukan bermakna ianya salah dan tidak boleh diamalkan samasekali. Ini pendirian yang salah dan jumud. Islam samasekali tidak menolak penggunaan akal bahkan dalam al-Qur’an begitu banyak seruan-seruan yang menyeru kepada menggunakan akal seperti ungkapan: “tidakkah kamu berfikir”, “tidakkah kamu bertadabur” dan seumpamanya. Begitu juga banyak hadith-hadith yang memuji akal, sepertimana contoh yang diberikan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Mengenai Islam, Sains dan Tamadun Universiti Teknologi Malaysia dalam rancangan Tarbiyyah di IKIMfm setiap Jumaat 10.15 pagi, di mana ada mafhum hadith yang apabila Baginda SAW diajukan soalan siapakah yang lebih baik antara orang yang kuat beribadat atau orang yang kuat tidur? Lalu Baginda SAW menjawab orang yang kuat akalnya di antara kedua-duanya. Kenapa? Kerana orang yang kuat ibadat sekalipun tetapi jika kualiti ibadatnya tiada, maka tiada manfaat sedangkan orang yang kuat tidur walaupun mungkin ibadatnya agak sedikit tetapi jika ibadatnya berkualiti itu lebih baik. Beliau seterusnya mengungkapkan bagaimana Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w.505/1111) memberikan tamsilan untuk akal ini seumpaman mata.

Jika al-Qur’an itu diibaratkan seperti matahari, namun untuk memahami al-Qur’an kita memerlukan mata kerana cahaya sahaja tidak mencukupi. Mata sebagai alat untuk  melihat objek-objek yang disuluh oleh cahaya, maka begitu jugalah akal diperlukan untuk memberi kefahaman terhadap apa jua yang disuluh oleh cahaya al-Qur’an itu. Walau bagaimanapun, akal tidak boleh dibiarkan untuk berfikir di luar kemampuan tanpa ada had dan batas. Di sinilah bezanya umat Islam dan umat  lain dalam meletakkan kedudukan akal agar kena pada tempatnya. Golongan sesat Muktazilah dahulu misalnya meletakkan akal sebagai sumber yang utama yang mampu menyelesaikan semua perkara dan memikirkan semua hal tanpa memerlukan al-Qur’an. Pandangan ini salah. Sebagai contoh perkahwinan adik beradik misalnya tidak mampu difikirkan secara rasional oleh akal apakah keburukannya tetapi agama melalui petunjuk al-Qur’an menjelaskan bahawa ia tidak dibenarkan kerana mudaratnya yang amat.  Begitu juga pengharaman babi dan lain-lain semua itu tidak dapat difikirkan oleh akal hinggalah perkembangan sains dan teknologi membuktikan kewujudan cacing yang memudaratkan kesihatan.

Seperkara lagi, kecelaruan masyarakat hari ini juga ialah dalam melihat bahawa ada perkara-perkara dalam Islam ini yang bersifat kekal (thawabit)  tidak berubah-ubah iaitu dalam perkara aqidah, usul, namun ada juga yang bersifat berubah-ubah (mutaghayyirat) khususnya dalam perkara-perkara muamalat, ranting yang bersifat ijtihadi. Kepercayaan terhadap Allah SWT Tuhan Yang Maha Esa, Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir adalah pegangan yang tidak akan berubah-ubah hingga hari kiamat. Adapun dalam hal muamalat misalnya, seperti jual beli. Jika dulu penjual dan pembeli perlu ada akad ijab dan qabul, tetapi kini dengan adanya vending machine menjual air kotak dan lain-lain, kita tidak perlu lagi mengucapkan lafaz ijab-qabul tersebut memadai prinsip “an taradin” iaitu kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah harga yang ditetapkan, maka transaksi jual beli itu sudah dikira sah. Ini yang dikatakan antara perkara-perkara yang boleh berubah-ubah dari zaman ke zaman bergantung kepada maslahah masyarakat setempat.

Namun apa yang menyedihkan kita ialah adanya gerakan konon untuk “mengislahkan” masyarakat, atau tajdid dalam hal-hal yang ranting dan bukan dalam hal aqidah sehingga menimbulkan keresahan masyarakat. Golongan ini bukan menambahbaik tetapi merosakkan lagi ajaran Islam yang sudah sekian lama bertapak dalam masyarakat. Mereka membesarkan perkara-perkara yang diperselisihkan (khilafiyyah) oleh para ulama sejak ratusan tahun lalu yang telah bersetuju untuk berbeda pendapat. Mereka menuduh perkara-perkara baharu yang tidak dibuat di zaman Baginda SAW sebagai “bid’aah sesat” sedangkan jumhur ulama bersetuju bahawa perkara-perkara baharu (bid’aah) itu ada yang sesat (dalalah) dan ada yang baik (hasanah). Imam Shafie RA sendiri mengungkapkan bahawa  “Bidaah itu ada dua, satu sesat (dalalah) dan satu terpuji (mahmudah)”.

Justeru dengan pemikiran-pemikiran sebegini yang banyak muncul dalam masyarakat telah mengeruhkan lagi hubungan sesama saudara Islam dan yang lebih teruk lagi ianya di mata orang bukan Islam menunjukkan umat Islam sendiri tidak sepakat dan bersatu padu dalam ajaran mereka. Lalu hilanglah keindahan Islam di mata mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 September 2016
WhatsApp
Scroll to Top