SYUKUR adalah satu tanda kita beriman kepada Allah SWT. Pelbagai bentuk untuk kita menzahirkan rasa syukur kita kepada Allah SWT. Namun, seringkali kita mengeluh kerana kita tidak dapat apa yang kita inginkan. Itulah hakikat manusia yang sering lupa dengan segala nikmat pemberian Allah SWT. Ustaz Muhammad Syaari Ab. Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu jam 5.15 petang Isnin berkongsi mengenai kisah Nabi Ibrahim AS. Ustaz Syaari memulakan pertemuan dengan membacakan ayat al-Quran Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: \”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras\”.
Kisah kali ini Ustaz Syaari bawakan bagaimana Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk kembali ke Makkah setelah meninggalkan Hajar dan anaknya. Nabi Ibrahim AS bersyukur kepada Allah SWT kerana melihat Makkah yang menjadi sebuah negeri yang aman, bukan sahaja menyelamatkan isteri dan anaknya. Orang-orang yang benar-benar bersyukur kepada Allah SWT atas setiap rezeki yang mereka miliki, maka mereka akan menzahirkan rasa syukur dengan menunaikan solat kepada Allah SWT. Menerusi surah Ibrahim juga, Allah SWT gambarkan tentang erti syukur yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS. Menerusi ayat 38 Surah Ibrahim, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
\”Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan.
Di dalam Surah Ibrahim ini, kita dapat lihat bagaimana Nabi Ibrahim AS sendiri mengharapkan dirinya dapat terus menunaikan solat. Inilah kayu ukur orang-orang yang bersyukur. Syukur dan solat tidak dapat dipisahkan. Orang yang bersyukur akan menzahirkan rasa syukurnya melalui solat.
Barangsiapa yang mengkaji surah Ibrahim ini, ia seperti silibus yang mengajar kita tentang erti syukur. Seolah-olah keseluruhan ayat di dalam surah Ibrahim ini mengajar kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa bersyukur dan mendifinisikan ayat pertama surah Al-Fatehah. Mengapa dalam solat diawalnya kita membaca Al-Fatehah dan dipenghujungnya kita melafazkan selawat kepada Nabi Ibrahim AS dan kaum keluarga baginda?
Ia mengajar kita, Nabi Ibrahim AS dan keluarganya tidak hanya kita kenang ketika masuk musim Haji dan juga saat kita mengerjakan ibadah korban semata-mata. Tetapi di dalam solat itu sendiri kita diminta supaya jangan memisahkan diri kita dari solat melainkan sesudah kita tahu menghargai Nabi Ibrahim AS dan keturunannya yang menjadi susur galur para anbiya’.
Melalui ayat ke-7 surah Ibrahim ini yang mengajar kita tentang syukur inilah yang menjadi tema kepada Surah Ibrahim. Ketika ayat 7 ini muncul, ia ada kaitan dengan kisah Nabi Musa AS. Ayat sebelumnya kita dapat melihat kisah mengenai Nabi Musa AS. Rupanya ini merupakan kata-kata Nabi Musa AS dan dituturkan kepada kaum Bani Israel.
Dalam kita menghayati dan memahami ayat ke 7 Surah Ibrahim ini, kita perlu melihat juga tafsiran mengenai ayat ke 5 di dalam surah ini yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: \”Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. \”Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.
Rupa-rupanya kata-kata Musa AS kepada kaumnya mengenai syukur ini adalah dalam erti untuk mengeluarkan kaumnya daripada kegelapan kepada cahaya. Manusia tidak sedar dia berada di dalam kegelapan adalah apabila dia susah untuk besyukur kepada Allah SWT. Dia sering mengeluh dan berdukacita. Ini sebenarnya adalah kegelapan dan cara untuk keluar daripada kegelapan ini, Surah Ibrahim mengajar kita.
Di permulaan Surah Ibrahim ini pun Allah SWT telah mengajar kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Al-Quran ini turun mengajar kita untuk keluar daripada kegelapan. Antara sifat manusia dalam kegelapan adalah mereka susah untuk bersyukur. Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan kita orang yang melihat positif dalam apa juga yang terjadi dan sentiasa bersyukur tanpa sedikit pun rasa keluh kesah terhadap setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan buat kita.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Ogos 2016