DALAM kitab Riyadhus Salihin bertajuk ‘Menziarahi orang-orang yang baik’ tulisan Imam An-Nawawi ada menukilkan dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: \”Ke mana engkau menghendaki?\” Orang itu menjawab: \”Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.\” Malaikat bertanya lagi: \”Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau peroleh dari saudaramu itu?\” Ia menjawab: \”Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah.\” Malaikat lalu berkata: \”Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu – guna memberitahukan – bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu karana Allah.\” (Riwayat Muslim).
Syawal telah berlalu, namun amalan ziarah-menziarahi dan mengadakan rumah terbuka masih berbaki. Justeru, Naqib Usrah Nurani, Ustaz Zul Ramli M. Razali mengambil peluang dengan tuntas mengupas tajuk ziarah-menziarahi dengan tambahan pengisian mantap oleh rakan usrah di konti, Ustaz Rusydi Ramli Al-Jauhari dan Cik Wan Roslili Abdul Majid untuk menjadikan aktiviti ziarah-menziarahi lebih terpandu serta menyumbang hikmah dan kebaikan kepada yang menziarah juga yang di ziarah.
Terdapat banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna pada aktiviti ziarah-menziarahi ini. Pertama, ia adalah medium menghubung dan merapatkan lagi ikatan persaudaraan sesama Islam sebagai salah satu usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim sesama insan, sebagaimana firman Allah SWT : “Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 10). Sungguh, aktiviti ziarah-menziarahi bukan hanya bisa merapatkan hati antara manusia malah ia adalah jalan untuk mendapat kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT.
Ziarah boleh diertikan sebagai lawat atau kunjung dan ziarah ini boleh jadi sebagai adat semata tetapi jika dilakukan dengan etika, bertertib dan adab yang betul ia akan jatuh dalam kategori ibadah. Ziarah adalah ibadah sunat dan sangat di galakkan bagi meneratkan silaturrahim dan Allah juga menjanjikan sebaik-baik ganjaran iaitu syurga kepada penziarah sebagaimana yang telah termaktub di dalam sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang meninjau orang sakit atau berziarah kepada saudaranya kerana Allah, maka berserulah seseorang yang mengundang-undang: \”Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam syurga.” (Riwayat Imam Termidzi).
Dalam memenuhi tuntutan menziarahi, peliharalah adab supaya pelaksanaan tuntutan itu sejajar dengan kehendak syariat. Meletakkan niat ziarah kerana Allah SWT untuk mengeratkan lagi hubungan, silaturahim tidak kira antara orang kaya ataupun miskin.
Kedua, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah sama ada menziarahi orang sakit, jiran tetangga, adik-beradik atau sahabat handai agar tidak mengganggu waktu beristirahat atau persiapan untuk keperluan ahli keluarga.
Mulakan kunjungan dengan bertanya khabar dan tidak bercakap perkara-perkara yang mencemarkan sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang yang dikunjungi. Serta jagalah akhlak dan perlakuan diri serta anak-anak daripada perangai yang tidak disenangi oleh tuan rumah.
Sebaiknya, dalam amalan ziarah-menziarahi raikanlah sunnah Rasulullah SAW seperti menjamu tetamu dengan hidangan kegemaran Nabi seperti kuih muih atau masakan berasaskan labu kerana labu adalah kegemaran Baginda Nabi SAW sepertimana yang pernah diriwayatkan oleh Anas bin Malik, “Ada seorang penjahit yang mengundang Nabi SAW untuk menikmati makanan yang ia buat. Aku ikut pergi menemani Nabi. Orang tersebut menyuguhkan roti yang terbuat dari gandum kasar dan kuah yang mengandung labu dan dendeng. Aku melihat Nabi SAW selalu mengambil labu yang berada di pinggir nampan.” (HR. Bukhari) dan dalam hadis yang lain Aishah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Hai Aishah apabila kau masak gulai, maka perbanyakkan dalamnya buah labu kerana labu itu menguatkan hati yang duka”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Ogos 2016