3S : Salam, Silaturrahim dan Solat Malam

BERKATA Abdullah bin Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamu tebarkanlah salam, berjamulah makanan, hubungilah silaturrahim, dan kerjakanlah solat waktu malam dikala manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.” (Hadis Riwayat Tirmizi). Sesungguhnya, bagi hati-hati orang yang beriman tatkala Rasulullah SAW memberikan satu jaminan pasti akan di ambil dengan penuh pasti apatah lagi bagi amalan yang dijanji nikmat syurga yang abadi.

Hadis ringkas ini menjadi tunjang perbincangan Usrah Nurani yang bersiaran pada pukul 5.15 petang Jumaat lalu di radio IKIMfm. Usrah hasil kemudi naqib Ustaz Zul Ramli M.Razali berkongsi kehebatan empat element penting yang mampu membawa manusia mendapat ganjaran syurga Allah SWT. Menurutnya, Imam as-Suyuthi dalam karyanya menyatakan bahawa kenyataan tersebut merupakan perkataan paling sulong di sebut oleh Rasulullah SAW saat baginda menjejakkan kaki di Madinah. Ia seolah-olah sesuatu amanat yang sangat besar daripada baginda kepada umat yang sedang menanti Baginda dan sahabat-sahabat yang turut serta. Ungkapan yang terlalu ingin di ungkap namun seakan terkunci kala baginda di bumi Mekah sebelum peristiwa Hijrah. Lalu, pada saat baginda punya peluang bebas berdakwah itulah perkara utama tersebut di seru iaitu tebarkan salam, sambungkan tali silaturrahim, sedekah dengan memberi makan dan bangkit di malam hari untuk sujud kepada Ilahi.

Kata-kata Rasulullah SAW tidak habis di situ, kerana baginda Nabi menginginkan ia berlanjutan hingga akhir usia dunia. Realitinya,  ia adalah satu proses yang perlu di tekuni supaya tidak sekadar dilakukan sekali sekala tetapi mendarah daging menjadi tabiat dan kebiasaan. Imam al-Ghazali menyifatkan tabiat sebagai perkara yang terlahir secara spontan tanpa sempat seseorang memikirkannya. Maka, cabaran pasti ada di balik ganjaran yang amat besar iaitu syurga.

Sebarkan salam seperti pesanan Rasulullah SAW: “Kamu tidak akan masuk Syurga selagi kamu tidak beriman, dan belumlah kamu beriman selagi kamu tidak menyayangi sesama sendiri. Apakah kamu ingin tahu sesuatu perkara yang dapat membuat kamu menyayangi sesama sendiri? Sebarkanlah salam.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi). Secara tidak langsung, menerusi salam akan menautkan ukhuwah sekaligus merapatkan silaturrahim sesama umat baginda.

Dalam keadaan dunia yang sangat tercatu dengan kasih sayang waktu ini, didikan Rasulullah SAW berkaitan menyambung silaturrahim ini amat releven. Walau dijanjikan dengan syurga, namun masih ramai yang tega untuk ingkar dengannya sedangkan Allah SWT secara jelas memberikan peringatan kepada orang yang memutuskan tali persaudaraan dengan laknat dan azab sebagaimana firmanNya: “Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka.” (Surah Muhammad, ayat 22 dan 23).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menyatakan mafhumnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisaa’, ayat 1).

Selain salam dan menjaga silaturrahim, Rasulullah SAW juga menekankan sedekah dengan memberi makan sebagai salah satu cabang kemuliaan yang layak menerima syurga. Memberi makan ini termasuk menafkahi ahli keluarga dan juga bersedekah dalam bentuk memberi makan kepada yang memerlukan.

Konsep terakhir yang di sampaikan oleh Rasulullah menerusi hadis tersebut adalah dengan bangkit di sepertiga malam untuk sujud pada yang Maha Agung saat kebanyakkan orang memilih untuk mendapatkan rehat menerusi tidur yang lena. Sentiasalah bermohon pada Allah agar di kurniakan kekuatan dan hidayah untuk bangun menunaikan solat malam. Ia adalah salah satu kaedah dalam merialisasikan ketundukan yang benar-benar ikhlas kepada Pencipta. Mungkin bait-bait lagu daripada Fynn Jamal selaku ahli usrah di konti iaitu “Jangan kau izin aku lupa , Jangan kau biarkan aku mendepang dada, Pasakkan hatiku pada kaki , Paksakan ku tunduk sehingga mati” boleh di jadikan sebagai motivasi untuk terus merasa kehambaan dengan tunduk menunaikan solat malam.

Sesungguhnya Allah berfirman mafhumnya: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan Sesiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi.” (Surah Al-A’raf, ayat 175). Selain itu, seorang lagi rakan usrah di konti; Saudara Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki menyeru kepada semua yang sudah memiliki asas agama untuk menunjuk teladan yang betul dan baik berpandukan perkara yang telah di ajar oleh Rasulullah SAW. Bagi yang baru berjinak dengan agama, manfaat setiap peluang yang hadir sebaiknya walau masih bertatih dan sedang tercari-cari kerana hidayah dan petunjuk daripada Allah punya jalan yang pelbagai dan berbeza.

Sebagaimana sabda baginda kekasih Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya karena Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya karena urusan dunia yang ingin digapainya atau karena seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diniatkannya tersebut” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Mac 2016
WhatsApp
Scroll to Top