KUALA LUMPUR, 8 Julai (IKIM) – Sebanyak 23 syarikat dan entiti korporat hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah keseluruhan RM53.2 juta kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), mencerminkan komitmen sektor korporat terhadap rukun Islam ketiga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata zakatperniagaan yang ditunaikan hari ini bukan hanya soal pematuhan syarak, tetapi penanda aras keberkatan perniagaan.

“Untung tanpa zakat hanyalah angka kosong – tapi bila dizakatkan, ia menjadi sumber keberkatan, ketenangan dan kesejahteraan bersama,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Zakat Korporat 2025 PPZ-MAIWP di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, kutipan zakat perniagaan telah meningkat 1.6% kepada RM76.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pada tahun 2024, zakat perniagaan menyumbang RM183.8 juta atau 16% daripada keseluruhan kutipan zakat, menjadikannya penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan.,” katanya.
Beliau berkata angka itu bukan sekadar statistik, tetapi bukti keinsafan dan tanggungjawab sosial syarikat terhadap golongan yang memerlukan.
Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan kutipan mesti diselaraskan dengan peningkatan keperluan, terutama dalam menghadapi realiti kehidupan golongan asnaf seperti miskin bandar, warga emas sebatang kara dan keluarga yang kehilangan punca pendapatan.
“Saya tegaskan bahawa pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus memperkasa sistem zakat dan wakaf negara, dari kutipan hingga ke agihan,” tambah beliau.
Pihaknya akan terus meluaskan jaringan dakwah zakat, menambahbaik penyampaian maklumat dan memperkemas agihan agar lebih telus, cepat dan bersasar.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Syedm Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Sri Amrin Awaluddin.