Syukur Yang Subur

MANUSIA terbahagi kepada empat golongan apabila menghadapi ujian. Pertama adalah golongan yang suka marah dan enggan menerima takdir Allah SWT, kedua ialah golongan yang sabar, ketiga ialah orang yang redha dan yang keempat ialah golongan yang bersyukur. Kemuncak dalam sebuah kehidupan semestinya perlu diakhiri dengan menjadi orang yang bersyukur serta mempunyai hati yang dapat menangani apajua rintangan diluar diri mereka. Menerusi sifat tersebut yang perlu disemai pada setiap umat Islam, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berkongsi pandangan bersama para pendengar di IKIMfm pada hari Rabu jam 10:15 pagi yang lalu mengenai topik ‘Syukur Yang Subur’.

Justifikasi mengenai syukur adalah terletak kepada kebahagian. Bahagia itu bukannya terletak pada kuantiti harta tetapi bahagia itu terletak pada kualiti jiwa. Bagi melahirkan kualiti jiwa ianya memerlukan sifat-sifat mahmudah pada diri yang perlu ditanam dengan sifat syukur terlebih dahulu. Sekiranya kita mempunyai kesyukuran maka kebahagian akan hadir yang semestinya didatangi dengan ketenangan. Jika ketenangan dan kebahagian ingin kita nikmati maka hitunglah kesyukuran bukannya menghitung kesukaran. Inilah kualiti jiwa yang sebenar dimana ianya memerlukan sifat kesyukuran.

Sifat syukur sangat ditikberatkan dan dipandang oleh Allah SWT. Berdasarkan rujukan oleh para alim ulamak yang mengkaji dan mentafsir Al-Quran, tidak kurang daripada 60 kali kalimah syukur yang terdapat dalam kitab mulia itu. Keistimewaan sifat syukur itu pastinya membawa hikmah pada sesiapa yang mengamalkannya. Dalam keadaan ekonomi yang penuh mencabar pada hari ini ditambah pula dengan kos kehidupan yang tinggi pastinya ramai masyakat akan terus merungut dan mengeluh sekiranya tiada sifat syukur. Oleh yang demikian, apajua rintangan hidup yang mencabar itu perlu ditanam rasa syukur untuk menangani kesusahan luaran kita.

Walaubagaimanapun, kalimah syukur itu senang untuk disebut tetapi tidak mudah untuk kita laksanakan. Perkara itu juga telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Mulk ayat 23 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): \”Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur\”. Oleh itu, apabila bercakap tentang syukur kita perlu pelajari, faham dan mesti mengamalkannya. Sekiranya kita mahu memiliki sifat syukur yang kukuh ia memerlukan ilmu dan mujahadah.

Kebanyakkan manusia akan mudah lupa tentang sifat syukur berbanding dengan sifat sabar. Sebagai contoh Ustaz Pahrol Mohd Juoi memberi gambaran persoalan semasa kita hendak menjamu selera. Adakah doa sebelum makan atau doa selepas makan yang lebih kita ingat? Oleh itu, ada masanya kita terlupa terhadap perkara tersebut yang menunjukkan bahawa syukur ketika menghadapi nikmat lebih sukar dilakukan berbanding dengan sabar untuk menghadapi musibah. Semestinya nikmat syukur itu perlulah disemai disetiap masa tanpa mengira keadaan dan situasi. Sifat itu juga tidak perlu terkurang walaupun sedikit untuk menjamin kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.

Istilah syukur bermaksud penuh atau lebat. Dari segi maknanya ia bermaksud pujian atas kelebihan, nikmat dan rahmat yang diberikan oleh Allah SWT. Orang yang boleh bersyukur adalah orang yang melihat kelebihan dan bukannya melihat kekurangan. Namun begitu, kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita bukannya untuk dibanggakan sehingga menjadikan kita takbur. Kelebihan tersebut akan mengingatkan kita supaya tidak lupa kepada Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan umat manusia menerusi surah An-Nahl ayat 18 yang bermaksud “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Nikmat yang telah Allah SWT berikan tidak dapat dihitung apatah lagi untuk kita balas. Kehebatan Allah SWT melalui sifat-Nya yang maha pengasih dan maha penyayang akan terus memberikan nikmat yang tidak putus-putus kepada kita. Kealpaan manusia juga hanya sekadar melihat nikmat yang tiada berbanding nikmat yang ada.  Oleh itu, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis untuk mengingatkan kita yang mafhumnya “lihatlah orang yang dibawah, jangan lihat orang yang diatas kerana itu lebih wajar supaya kamu tidak memperkecilkan nikmat pada kita”. Kehidupan manusia ini hanya memikirkan perkara yang hilang atau yang tiada sahaja tetapi nikmat yang Allah SWT telah berikan sebenarnya lebih banyak daripada apa yang kita telah hilang itu.

Bahkan kata ulamak, semasa kita meminta pelbagai keinginan kepada Allah SWT melalui doa tanpa disedari sebenarnya kita telah mendapat lebih banyak nikmat daripada apa yang kita sedang meminta. Menerusi sebuah kehidupan terdapat perkara yang memberi kepahitan, kemanisan, positif dan negatif. Oleh itu, lihatlah kepada perkara positif dan janganlah melihat kepada kekurangan kerana Allah SWT memberikan sesuatu kepada hamba-Nya dengan penuh kelebihan. Keperluan syukur merupakan sesuatu kesungguhan dan merupakan suatu perkara yang wajib bagi manusia untuk menzahirkan amalan tersebut. Ini adalah kerana diantara sepuluh sifat mahmudah yang perlu kita pelajari dan ikuti adalah amalan bersyukur.

Syukur merupakan sunnah Rasulullah SAW dimana baginda selalu melakukan amalan sujud syukur tanda berterima kasih dan menghargai pemberian Allah SWT. Syukur juga merupakan perkara penting kerana ia membuatkan nikmat rezeki akan sentiasa bertambah. Amalan bersyukur merupakan baja kepada rezeki kita bagi menyuburkan kehidupan dengan keberkatan dari Allah SWT. Kepastian terhadap perkara tersebut dapat dilihat menerusi firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: \”Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras\”. Oleh itu, sentiasa pastikan diri kita untuk mensyukuri nikmat supaya kita tidak lupa pada Pemberi nikmat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Disember 2016
\"2016-12-07\"
Scroll to Top