Sifat dan Peribadi Imam

ADA pepatah Arab yang juga merupakan salah satu kalam daripada alim ulama yang menyatakan, “Bagaimana kamu melakukan kepada orang lain, maka begitulah kamu akan diperlakukan.” Jika kita bersifat mulia atau berakhlak murni dengan seseorang, begitu jugalah akan diperlakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Ulama bukan hanya diukur daripada segi ilmu yang dimilikinya malah juga amalannya dan mereka adalah golongan yang sangat takut kepada Allah SWT.  Abu Qasim Ubaid bin Salam menyatakan, beliau melihat Imam al-Shafie adalah manusia yang paling alim, warak dan bertakwa. Beliau juga adalah manusia yang paling bijak dan cerdik dan mempunyai pandangan dan perhatian yang paling tepat.

Seumur hidup Imam al-Shafie tidak pernah terlanjur melakukan kesilapan dan dosa. Para nabi digelar maksum kerana mereka dijaga dan terpelihara daripada melakukan dosa, manakala para wali dan ulama yang dipilih Allah, digelar mahfudz yang memberi makna yang dipelihara. Dari segi syarak adalah mustahil bagi seorang nabi untuk melakukan dosa, namun dari segi akal dan sejarah, ada manusia selain daripada nabi yang mempunyai sifat, akhlak dan peribadi seperti para nabi. Rasulullah SAW bersabda, “Ulama-ulama di kalangan umatku, kedudukan mereka ini seperti nabi-nabi di kalangan bani Israel.”

Menurut Ustaz Ahmad Lutfi bin Muharam di dalam slot Tahsinul Ibadah di IKIMfm pada Jumaat, jam 10.15 pagi, di dalam Islam boleh diceritakan tentang rupa paras Rasulullah daripada hujung rambut hingga hujung kaki Baginda secara bersanat. Iaitu disampaikan oleh para ulama yang mendengar daripada gurunya, yang juga disampaikan oleh guru-gurunya sebelum ini dan begitu juga seterusnya daripada sahabat. Ia bukan dongengan atau ciptaan semata-mata. Kisah berkenaan ulama juga diriwayatkan secara bersanat.  Di dalam kitab al-Manaqid Imam al-Shafie karangan Imam al-Baihaqi, semua kisah tentang beliau disampaikan secara bersanat. Diceritakan Imam al-Shafie merupakan seorang pemuda yang tinggi, bertubuh sasa, sering menggunakan inai pada rambut dan janggutnya kerana mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW dan beliau memiliki pelipis atau jambang yang nipis. Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi menyatakan pakaian Imam al-Shafie sangat sederhana dan tidak berjenama atau mahal harganya, yang diperbuat daripada kain kapas yang sesetengahnya dibawa daripada Baghdad. Beliau bukanlah dilahirkan daripada keluarga yang kaya, seorang anak yatim tinggal bersama ibunya yang menjalani kehidupan yang penuh mujahadah. Keadaan inilah yang mengajar beliau untuk hidup di dalam suasana yang serba sederhana.

Namun Imam al-Shafie bukan sahaja memiliki ilmu yang menarik malah begitu juga penampilannya. Ahli firasah menyatakan, rupa tubuh yang baik mencerminkan peribadi yang baik. Imam al-Shafie mempunyai lidah yang panjang sehingga jika dikeluarkan boleh mencecah hidungnya. Ahli firasah mentafsirkan orang yang demikian adalah fasih bicaranya. Begitulah kefasihan Imam al-Shafie sehingga dikagumi oleh Imam Malik bin Anas. Beliau juga seorang yang sangat disenangi, memiliki suara yang lunak, penampilannya menarik dan berwibawa. Selain itu Imam al-Shafie seorang yang haibah, iaitu mampu membuatkan sesiapa yang melihatnya merasa gerun dan gementar bila didekati tetapi apabila bergaul dengan orang lain, beliau tidak bersifat sombong dan mudah mesra. Beliau sendiri menyatakan sifat tawaduk adalah merupakan sifat bagi alim ulama, manakala sifat takabbur adalah sifat peribadi orang yang buruk dan tercela.

Imam al-Shafie merupakan murid yang sangat beradab dengan gurunya iaitu Imam Malik bin Anas. Malah beliau begitu berhati-hati untuk membalik-balikkan helaian bukunya kerana bimbang bunyi kertas itu akan mengganggu  gurunya. Perlakuan menghormati guru inilah yang menyebabkan murid-muridnya, termasuklah Rabi’ bin Sulaiman, memperlakukan perkara yang sama kepada Imam al-Shafie. Beliau juga sangat disenangi oleh orang sekelilingnya sama ada golongan bawahan dan atasan termasuk raja dan khalifah kerana akhlak dan pekertinya yang mulia. Imam al-Shafie berbangsa Quraisy, ibunya berasal dari Yaman dari kabilah Azd. Rasulullah menyatakan sifat amanah ada pada diri kabilah Azd yang sangat menonjol di kalangan mereka. Baginda juga memuji mereka  kerana kabilah ini adalah singa Allah di atas muka bumi.

Imam al-Shafie adalah seorang yang ikhlas tetapi sangat mementingkan kebenaran. Di dalam kitab al-Umm diriwayatkan begitu banyak debat Imam al-Shafie di antara para ulama yang sezaman dengannya. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Ihya, menyatakan berdebat  adalah sesuatu yang tidak baik kerana boleh menyebabkan sifat-sifat yang buruk seperti menyembunyikan kebenaran untuk mempertahankan pendapatnya sehingga berjaya disabitkan walaupun dengan menggunakan dalil yang tidak benar. Malah pendebat boleh melahirkan sifat takabbur jika selalu menjadi pemenang di arena perdebatannya dan memandang rendah kepada orang lain. Adalah sangat sukar untuk mendapat seseorang yang mahir dalam perdebatan. Ahli debat di dalam Islam bukan hanya orang yang petah berbicara tetapi juga mampu mengawal emosinya, iman, akhlak dan keikhlasan, barulah jidal atau perdebatan dibenarkan. Imam al-Shafie menyatakan, “Aku tidak pernah berdebat dengan sesiapapun, melainkan aku bercita-cita bahawa kebenaran itu zahir pada pihaknya. Aku akan membincangkan sesuatu perkara dan mengharapkan yang memenangi perdebatan itu adalah dia. Yang benar itu adalah pada hujahnya.” Ini adalah impian Imam al-Shafie, dan kerana ada perasaan inilah maka seseorang itu mampu mengawal hatinya. Dia akan berusaha untuk membuktikan pendapatnya, namun jika dilihat pada pihak lawannya yang mempunyai hujah yang lebih kuat dan lebih sesuai, maka beliau akan menerima kebenaran pada zahirnya.     

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Disember 2016
\"2016-12-08\"
Scroll to Top