Raih Ganjaran dan Fadhilat Melalui Ibadah Qurban

IBADAH Qurban yang dijalankan pada setiap 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) merupakan sebahagian daripada sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad  SAW sebagai memperingati pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S. Sekiranya kalau kita meneliti maksud qurban yang sebenar yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah SWT ”, maka seharusnya kita insaf bahawa ianya suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ianya merupakan suatu ukuran ketaqwaan terhadap hamba-hambaNya. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Allah SWT sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.

Ibadah qurban merupakan salah satu perintah Allah SWT, jika kita melaksanakannya ertinya ada ketaatan yang telah kita jalankan demi mengharapkan keredhaan-Nya. Salah satu dalil yang memerintahkan untuk melaksanakan ibadah berkenaan adalah “Dirikanlah solat  dan berqurbanlah” (Surah Al-Kautsar, ayat 2).Ketahuilah bahawa hanya ibadah qurban yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan yang sebenar sahaja yang akan dapat menggapai keredhaan Illahi. Sebagaimana Allah SWT berfirman: Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan atau keikhlasan dari kamulah yang dapat mencapainya”. Dalam ibadah haji pun demikian juga, sesiapa yang mengerjakannya dengan penuh keikhlasan, bukan untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat sanjungan rakan  taulan, dia akan lahir sebagai seorang manusia yang bebas merdeka dari sebarang dosa.

Ibadah korban juga mengajar kita bahawa sesuatu amalan yang diterima oleh Allah SWT ialah amalan yang menepati ajaran Nabi Muhammad SAW. Dalam penyembelihan korban ada cara atau ketentuan yang mesti dipenuhi. Binatang yang hendak dikorban mestilah sihat, tidak cacat, cukup umur. Waktu penyembelihannya juga hendaklah dilakukan setelah solat Idul Adha selesai. Ketika mengupas tajuk ‘Indahnya Syariat Berkorban’ dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm jam 10.15 pagi setiap Isnin, Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin menjelaskan bahawa bagi umat Islam yang menunaikan ibadah Qurban akan meraih ganjaran pahala di sisi Allah SWT.  Dengan berqurban bererti kita sudah menjalankan salah satu perintah Allah dan ajaran Nabi Muhammad SAW. Di samping itu, menyembelih qurban lebih menampakkan syiar Islam dan lebih sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. Dengan melaksanakan  ibadah Qurban secara tidak langsung kita juga termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mensyukuri nikmat atas rezeki yang melimpah ruah diberikan oleh Allah SWT kepada kita, yang mana kesyukuran tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan syariat-Nya yakni melakukan ibadah qurban.

Ibadah qurban atau penyembelihan haiwan qurban merupakan satu ibadah yang cukup mulia. Justeru, Muhammad menegaskan bahawa ibadah tersebut yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, jika dilaksanakan, insyaAllah akan beroleh banyak fadhilatnya. Sesungguhnya fadhilat atau  kelebihan ibadah qurban, amatlah besar buat mereka yang melaksanakan perintah Allah tersebut. Mereka yang menunaikan ibadah yang dituntut ini  akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT. Sabda Rasullah SAW yang bermaksud : \”Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla.\” (Hadis riwayat Thabrani). Di samping itu, seseorang itu bakal memperolehi tunggangan ketika meniti al-Sirat al-Mustaqim pada akhirat kelak. Dalam satu hadis, Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud “ Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada hari Kiamat. Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 September 2016
\"2016-09-12\"
Scroll to Top