Hormati, Sayangi & Peliharalah Anak-anak

MENURUT Islam keluarga merupakan sebuah institusi yang amat penting kerana keluarga merupakan sebuah kesatuan masyarakat kecil yang menjadi asas dalam pembentukkan masyarakat. Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.

Sewaktu menyambung kembali tajuk yang menyentuh tentang ‘Memahami Keluarga Besar’ dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm pada minggu lepas, Ustaz Muhammad Abdullah Al- Amin  sempat menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian sewajarnya  oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Kunci utama  ke syurga itu adalah tidak lain tidak bukan ialah mendapat redha Ilahi tetapi sedarkah kita bahawa untuk mendapat  redha Ilahi ia bergantung kapada redha ibu bapa kita. Dan, inlah yang sering dilupakan oleh anak-anak selama ini. Bersesuaian dengan Sabda Rasulullah SAW  yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha kedua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa. Syafaat Rasulullah S.A.W. bergantung pada redha Allah SWT . Kemuliaan Allah SWT  bergantung pada bagaimana anak itu memuliakan kedua ibu bapanya.” Betapa besarnya kedudukan ibu bapa selepas Allah kerana tanpa mereka dan dengan izinNYA tiadalah kita di muka bumi ini. Seiring dengan firman Allah “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23). Oleh itu, adalah menjadi  kewajipan  untuk mengajar anak-anak untuk mencari keredhaan ibu bapa  menerusi pemberian hadiah, memberi  pertolongan  serta sentiasa cuba menyenangkan hati dan perasaan kedua ibu bapa .

Doa ibu bapa  merangkumi keikhlasan dan ketulusan. Ada kala seseorang itu berdoa untuk kebaikan orang lain atas sebab mendapatkan kebaikan pada dirinya. Akan tetapi doa ibu bapa adalah sama sekali daripada hati yang tulus ikhlas untuk kebaikan anak, bukan mendapat balasan atas kejayaan yang diperoleh. Umpamanya, seorang ibu mendoakan kebaikan kepada anak sebelum mereka dilahirkan di dunia lagi , mengharapkan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan doa seorang ibu terhadap anaknya demi kebaikan di dunia dan akhirat. Pada masa yang sama, tidak lupa untuk berkomunikasi dan mendidik  anak-anak agar mendoakan kesejahteraan  ibu bapa  mereka di dunia dan di akhirat. Sebagai anak, kita boleh memanjatkan  doa kepada Illahi agar ibu bapa diberi kesihatan yang baik, dipanjangkan umur  dan diampunkan  segala dosa. Doa boleh diamalkan  pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi selepas menunanaikan solat. Malah, anak-anak juga diingatkan untuk mendoakan ibu bapa walaupun mereka sudah meninggal dunia. Kita memohon keampunan kepada Allah SWT  supaya menghapuskan segala dosanya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Di samping  itu, sebagai anak  hendaklah menziarahi kuburnya, menyedekahkan Al-Fatihah dan Yasin untuk kesejahteraan mereka di sana.

Islam mendidik umatnya untuk bersikap pemaaf. Salah satu sifat Allah  ialah Maha Pengampun. Saban hari ada sahaja dosa yang kita lakukan, tetapi selagi nyawa tidak di kerongkong , Allah masih membuka pintu taubat kepada hamba-NYA . Kasih sayang–Nya  tidak ternilai,  Sesungguhnya Allah SWT  itu Maha Pengampun kepada hamba-NYA yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada nyata mahupun tersembunyi. Firman Allah  SWT di dalam al-Quran:“Dan (ingatlah) Allah  Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,”( Surah al-Nisa’, ayat 25). Malah, ibu bapa juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan kepada anak-anak, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf. Tanam sifat mudah berasa bersalah terhadap apa sahaja yang belaku meskipun ianya adalah perkara remeh-temeh. Ia  tidak  membawa sebarang manfaat  jika ibu bapa  masih berterusan enggan  menerima kemaafan   daripada  anak-anak mereka.

Selagi  tidak memaafkan anak tersebut, selagi itulah fikiran akan dipenuhi dengan ,dendam dan juga segala aura negatif.  Manakala anak-anak pula berada dalam suasana hati yang tidak tenang atau  dilanda ketegangan emosional. Oleh itu, mulakan berlatih meminta maaf daripada anak kita. Persoalannya kenapa perlu meminta maaf? Tambahan pula kepada anak- anak sendiri? Sebenarnya anak memerlukan contoh atau role model yang anak boleh dijadikan contoh. Mereka mungkin tidak tahu, tidak sedar dan jahil pada saat itu. Tetapi tidak mengapa. Maafkan mereka dan berdoalah supaya mereka berubah menjadi yang lebih baik pada  masa akan datang.

Sebagai kesimpulan, sesungguhnya anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Berilah perhatian agar mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta Negara.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 21 November 2016
Scroll to Top