Rangkuman Ibrah

HAYATI nilai kehidupan dengan memahami setiap kisah yang disampaikan menerusi al-Quran. Kisah-kisah Nabi yang Allah SWT perihalkan di dalam al-Quran bukan sekadar untuk tatapan, namun perlu kita gunakan sebagai panduan dan inspirasi kehidupan kita.

Menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm ini untuk episod terakhir bagi tahun 2016, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, berkongsi mengenai rangkuman Ibrah dan pengajaran menerusi kisah-kisah al-Quran.

Mengapa Allah SWT menjadikan satu per empat daripada al-Quran adalah tentang kisah-kisah yang berlaku di masa lampau. Orang-orang yang membaca dan berinteraksi dengan al-Quran serta tadabbur isi kandungan al-Quran sudah pasti tidak akan mengatakan kisah-kisah di dalam al-Quran adalah tentang seseorang dan sesuatu kejadian di masa lampau. Jika kita mengkaji dan meneliti, kita akan mendapati sebagai contoh apabila Allah SWT mendatangkan kisah pemuda Ashabul Kahfi. Kita akan melihat ianya bukan sekadar kisah pemuda yang tidurnya tiga ratus tahun semata-mata. Ia adalah kisah mengenai pemuda yang bukan nabi yang dimakbulkan doanya oleh Allah SWT. Jadi, apabila membacakan kisah ini, pasti kita akan terinspirasi.

Apabila bercerita tentang kisah-kisah di dalam al-Quran, ia datang daripada Allah SWT dan bukan rekaan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Ceritanya bukan sekadar benar, tetapi ceritanya pasti akan menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kerana yang menurunkannya adalah yang menciptakan kita. Tidak mungkin yang menciptakan kita akan menurunkan sesuatu kepada kita dengan sia-sia.

Mungkin ramai yang bertanya, bahan bacaan apakah yang perlu dibaca agar dapat kita menghayati kisah-kisah yang diceritakan di dalam al-Quran. Ustaz Muhammad Syaari menjelaskan terdapat 8 kategori bahan bacaan mengenai kisah-kisah di dalam al-Quran. Yang pertamanya, kisah ‘al-Sardi’ iaitu kisah yang disampaikan secara kronologi. Kisah seperti ini menggabungkan ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menceritakan kisah seseorang Nabi lalu dirangkumkan dan disusun mengikut kronologi bermula dari kelahiran sehingga kewafatan.

Kategori kedua, disebut sebagai kategori ‘tafsiri’ iaitu kisah nabi yang mengambil kira surah mana di dalam al-Quran yang menyebut mengenai kisah nabi tersebut. Sebagai contoh, kisah Nabi Ibrahim AS memecahkan berhala disebut di dalam surah As-Saffaat dan surah al-Anbiyaa’ dan tidak pada surah Ibrahim. Lalu, penulis kitab ini kebiasaannya ahli tafsir akan merungkai persoalan mengapa kisah ini dipaparkan di dalam surah lain dan bukan menerusi surah Ibrahim. Namun, kategori yang kedua ini, agar sukar untuk kita dapatkan bahan bacaannya.

Manakala, kategori yang ketiga yang kebiasaannya banyak terdapat di dalam bahasa arab. Kategori ini bukunya mengambil pendekatan ‘tahlili’ yang bermaksud setiap perkataan tentang kisah-kisah nabi yang berkenaan dikaji secara mendalam dan dianalisis serta disemak apakah maksudnya di dalam bahasa arab. Lalu, kemudiannya dibongkarkan apakah yang tersurat dan tersirat daripada beberapa patah perkataan dan beberapa ayat sahaja. Sehingga seseorang itu apabila membaca buku ini seolah-olah seperti menonton sebuah filem di hadapan matanya.

Nombor 4 disebut sebagai kategori ‘al-Adabi’. Buku seperti ini menggunakan kaedah mengambil kisah-kisah nabi di dalam al-Quran lalu dinovelkan. Yang kelima, disebut ‘al-Muqaran’ iaitu perbandingan. Ertinya mereka bandingkan kisah nabi seperti contoh kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud lalu mereka bandingkan apakah yang disebut di dalam al-Quran dan apakah yang disebut di dalam kitab-kitab lain seperti Injil dan Taurat. Penulisan ini adalah penulisan ilmiah dan akademik sifatnya.

Kategori keenam ialah kisah-kisah nabi yang dipaparkan di dalam al-Quran dan ditulis dalam kaedah ‘Maudu’ii’ yang bermaksud mereka menulis kisah-kisah nabi dan mereka mengambil berat tentang perspektif manakah yang akan diambil dalam menulis kisah-kisah ini. Apa isu semasa yang sedang berlaku. Seperti contoh, sekarang ini purata perceraian semakin meningkat. Lalu, mereka mengambil satu kisah nabi di dalam al-Quran bagi menyarankan penyelasaian kepada masalah perceraian yang semakin banyak berlaku. Terdapat satu kajian akademik yang membongkarkan daripada kisah Nabi Yaakub yang terdapat di dalam surah Yusuf. Kisah Nabi Yaakub ini memaparkan tentang 10 tips keibubapaan.

Kategori yang ketujuh ini, ialah pendekatan ‘al-Wa’zul Irsyadii’ iaitu pendekatan yang digunakan di dalam segmen Ibrah ini. Pendekatan seperti ini susah untuk didapati dalam bentuk penulisan. Kaedah ini menggunakan cara motivasi untuk menyampaikan kisah-kisah nabi agar kita terinspirasi. Kaedah ini mengambil satu babak namun disyarahkan dengan panjang lebar sehinggakan orang yang mendengar merasakan inilah apa yang dicari selama ini.

Kategori terakhir yang tidak boleh kita tinggalkan juga ialah ‘al-Taklifil Atfal’ ertinya banyak buku-buku yang kita dapati menyentuh mengenai anak-anak. Buku dihasilkan dengan kaedah komik dan animasi.
Inilah antara kaedah-kaedah penceritaan al-Quran yang disampaikan kepada pelbagai khalayak. Semoga setiap kisah al-Quran yang kita baca bukan sekadar untuk pembacaan semata-mata, bahkan untuk kita mengambil pengajaran dan inspirasi atas setiap kisah yang disampaikan menerusi al-Quean. Semoga hidup kita benar-benar cerminan al-Quran.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Januari 2017
\"2017-01-03\"
Scroll to Top