Ubat Hati Yang Letih

HATI adalah penggerak dan tunjang utama segala kemahuan. Ada pengetahuan tanpa kemahuan, tidak memberi sebarang erti. Justeru, setiap sesuatu perkara yang berlaku bersandar kepada hati. Saat hati punya kekuatan, ia akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Dari An Nu’man bin Basyir RA, Nabi SAW bersabda mafhumnya : “Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati (jantung)” (HR Bukhari).

Sepertimana tubuh bisa letih, hati juga begitu. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu menekankan kepentingan punya hati yang segar dan tips latihan keletihan  hati dapat di hindar.

Hati umpama pusat pertempuran antara nafsu dan akal. Mujahadah hati melawan nafsu terlalu besar dan terkadang membebankannya.  Allah SWT berfirman mafhumnya : “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), Karena Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53).

Medan pertempuran dengan nafsu ini tidak pernah mengenal erti lelah. Tiada rehat dan tidak pernah ada masa untuk genjatan senjata. Maka, situasi itu memungkinkan hati menjadi letih.

Rasa jemu, lesu, bosan dan kosong malas serta rasa dukacita tanpa diketahui puncanya adalah antara tanda hati sudah menjadi letih. Tatkala hati dan jiwa itu letih, ia berat untuk melakukan kebaikan dan ketaatan.

Walau angota serta jasad masih kuat, namun jika hati sudah penat solat terasa berat melaksanakannya tidak terlarat. Segalanya begitu kelat. Walau harta setinggi gunung, zakat mahupun sedekah yang sedikit pun tidak tertanggung akibat keletihan hati yang tidak dapat di bendung. Terkadang, majlis ilmu terhidang di depan mata malah percuma. Tetapi, tidak diberi kelapangan masa kerana hati tidak teruja. Maka, masa terbuang sia-sia.

Kaki yang sihat tidak dapat membawa diri ke masjid. Bayangkan, bagaimana kaki yang sama ini nanti akan membawa diri ke syurga, jika menjengah masjid pun sukar kala di dunia. Sungguh, jarak antara rumah ke masjid tidak ditentukan oleh kaki tetapi ia ditentukan oleh jarak hati.

Mujahadah itu memenatkan dan meletihkan hati. Menurut kata ulamak, hati yang letih dapat diukur kala ketaatann tidak lagi terasa manis dan kesal selepas melakukan kemaksiatan. Hati dan jiwa yang berbolak-balik inilah yang memenatkan.

Panduan untuk menembalikan kesegaran hati adalah dengan kembali kepada si Pemilik Hati iaitu Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: Dan (Hud berkata), “wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!”. (Surah Hud, ayat 52).

Menerusi ayat tersebut, Allah akan menambahkan kekuatan atas kekuatan yang ada dengan syarat memperbanyakkan istighfar: memohon ampun dan taubat atas dosa. Hasil daripada taubat itu Allah akan turunkan hujan (yang amat diperlukan dan dikehendaki oleh kaum Hun pada waktu itu). Di samping itu, asbab taubat tersebut Allah akan tambahkan kekuatan kepada kekuatan yang sedia ada. Akhir sekali, jagalah diri dan hati daripada berpaling dengan berbuat dosa kepada Allah SWT.

Sungguh, hati akan berpaling menerusi dua perkara. Pertama, ketika hati berpaling dan jauh daripada Allah Yang Maha Kuat dan Maha Berkuasa. Faktor kedua, hati yang kotor dengan dosa. Ia menepati hadis Rasulullah SAW mafhumnya: “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka timbullah sebuah titik hitam pada hatinya. Apabila ia meninggalkannya, meminta ampun dan bertaubat, maka hatinya akan dibersihkan. Jika ia kembali berbuat dosa maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Justeru, jika inginkan kuat banyakkan bertaubat. Jika mahukan hati yang segar pertingkatkan istighfar. Taubat dan istighfar bukan hanya pada dosa tetapi pada setiap masa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Januari 2017
2017-01-04
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top