Nasihat – nasihat Insan Soleh

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Asr, 1- 3)

Dalam hidup ini kita ada pelbagai kehendak dan keinginan, sementara setiap kehendak dan kemahuan itu hendaklah diiringi dengan tindakan. Sesuatu keinginan tanpa ada tindakan tidak akan mendatangkan hasil yang akan memberi faedah kepada kita.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar menekankan bahawa pentingnya bagi setiap umat Islam untuk menanam azam yang tinggi di dalam diri supaya dengan adanya azam dan keinginan yang tinggi akan menghasilkan perbuatan dan tindakan yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Seseorang mukmin yang memiliki azam yang tinggi akan lebih bersemangat dalam melaksanakan ibadah dan perbuatan yang akan menjurus kepada hubungan baik terhadap Allah SWT. Sebagai contoh sentiasa menanam azam untuk bangkit melaksanakan solat sunat pada malam hari, berazam melaksanakan solat sunat Dhuha, membaca al-Quran, berpuasa dan sebagainya. Kehendak dan keinginan dalam ibadah ini hendaklah sentiasa dipasak dalam diri kita agar dapat melahirkan tindakan dan amalan yang akan menjadikan kita insan soleh dan solehah.

Orang-orang soleh sering berpesan kepada manusia lain dan selalu mengajak kepada kebenaran supaya dapat bersama-sama menjadi insan yang diredhai Allah dunia dan akhirat. Sebagaimana yang dikongsikan melalui surah Al-Asr, Allah SWT menjelaskan tentang manusia itu akan berada dalam kerugian jika tidak menggunakan kesempatan hidup atau usia yang dimiliki ini untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Bahkan sebagai manusia yang bertaqwa kepadaNya, manusia itu harus sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain kerana itu adalah sebahagian dari nilai keimanan seseorang manusia.

Menurut Ustaz Meeftah, setiap kebaikan yang dilakukan juga hendaklah berbalas dengan penghargaan seperti ucapan terima kasih dan seumpamanya. Ini adalah sebahagian dari adab yang perlu diamalkan oleh orang-orang Islam yang beramal soleh dan memahami ajaran Islam yang suci.

Hakikatnya dalam kehidupan ini, sebagai manusia yang menjunjung ajaran agama Allah SWT dan mengikuti suri tauladan yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad SAW, kita disaran untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain. Justeru menggunakan kalimah-kalimah yang baik adalah sebahagian dari nilai dakwah dan seruan yang akan membawa kepada kebaikan.

Ini kerana, manusia yang kehidupan dunianya bermatlamatkan akhirat akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Dengan kata lain, manusia yang beramal untuk akhirat, Allah SWT akan mencukupkan urusan dunia bagi dirinya. Sebagaimana yang dinukilkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam yang bermaksud \”Jagalah Allah, niscaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah\”. Baginda mengajar kepada umatnya agar mengikuti segala perintah Allah kerana orang yang taat kepada perintah Allah pasti sentiasa dalam pemeliharaanNya.

Justeru, kita hendaklah sentiasa memelihara amal ibadat kepada Allah SWT agar mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat. Manusia yang memelihara ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat bahagian kebaikan seperti ketenangan dan kelapangan hati. Begitu juga dengan kecukupan rezeki dunia selain dimudahkan urusan-urusan kehidupan di dunia ini.

Begitu juga manusia yang sentiasa berusaha membaiki hubungannya dengan Allah, akan mendapat kebaikan dalam hidupnya. Ini kerana seperti yang disabdakan oleh baginda bahawa “manusia yang menjaga hubungan dengan Allah, Allah juga akan menjaga hubungan dengannya”. Manusia yang sentiasa dalam ‘pandangan’ dan rahmat Allah akan dikasihi oleh masyarakat, dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah dan dikeliling orang-orang yang berkasih sayang.

Justeru, kita hendaklah sentiasa membuat koreksi atau penilaian bagaimana hubungan kita dengan Allah dari segi solat dan amal ibadah yang lain serta amalan-amalan zikir yang menterjemahkan ketaatan dan kasih sayang dalam menghidupkan Sunnah baginda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya amat besar kurniaan Allah SWT terhadap hamba yang soleh dan cintakan agamaNya. Hamba yang taat kepada Allah dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan meninggalkan laranganNya akan mendapat pemeliharaan Allah di dunia dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

Justeru, bagi meraih kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri dan hati dengan selalu beristigfar kepada Allah SWT supaya dengan melakukan amalan-amalan tersebut akan menyucikan hati dan akan mudah untuk menerima kebaikan. Malah mereka yang berhati bersih dan berakhlak baik akan terserlah ‘nur’ pada wajahnya serta mudah untuk didampingi oleh masyarakat. Oleh itu kebaikan atau ilmu dakwah Islamiah akan mudah untuk disampaikan kepada manusia lain di atas muka bumi ini.

Akhir sekali, kita semua hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan kebaikan walaupun dengan sepotong ayat kerana perkataan atau nasihat yang menyeru kepada kebaikan akan menghasilkan pahala yang berpanjangan. Ini kerana setiap keburukan dan kejahatan yang dilakukan sungguhpun dilihat kecil pada pandangan kita sebagai manusia, jika ianya dimurkai Allah SWT, pasti akan mendapat sebesar-besar pembalasan yang akan menjauhi kita dari mendapat ganjaran keredhaanNya di dunia dan akhirat.

Justeru, setiap dari kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha untuk memperbaiki diri supaya kita akan mendapat kebaikan dan sentiasa dibimbing ke jalan yang lurus dan jalan yang diredhaiNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Mei 2016
\"2016-05-04\"
Scroll to Top