Mengenali & Meneladani Imam As-Syafie (Bhgn 3)

INSAN Rabbani memiliki ciri-ciri insan yang berilmu, beramal dengan ilmunya dan mengajar orang tentang ilmu-ilmunya. Ciri-ciri ini menjadikan seseorang itu insan yang rabbani. Melihat kepada ciri-ciri ini, pastinya Imam As-Syafie, alim Quraisy dan ulama’ dunia memiliki ketiga-tiga ciri ini. Murid kepada Imam AsSyafie, Imam Ar-Rabi’ menyebut “murid-murid Imam Malik merasa bangga dan mereka katakan sesungguhnya yang hadir ke majlis ilmu Imam Malik sekitar enam puluh orang yang pakai serban. Demi Allah, sesungguhnya aku menghitung dalam majlis ilmu Imam As-Syafie, yang hadir seramai tiga ratus orang yang pakai serban (orang alim)”.

Selain memiliki ketokohan dalam mengajar dan berkongsi ilmu kepada masyarakat dunia, Imam As-Syafie memiliki firasat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Firasat ini dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang yang jernih dan bening hatinya. Imam Ar-Rabi’ berkata “aku bersama dengan Imam Al-Muzani dan Imam Al-Buyaiti, ketiga-tiga kami adalah anak murid Imam As-Syafie. Kami menziarahi Imam As-Syafie di akhir hayat beliau dan ketika itu Imam As-Syafie sakit di atas katil. Imam As-Syafie kemudian melihat kami dan berkata kepadaku: Kamu akan meninggal dalam dunia hadith, menguasai dan mendalami ilmu hadith. Kemudian Imam As-Syafie melihat kepada Imam Al-Muzani lalu berkata: Ini sekiranya syaitan berdebat dengannya, dia akan mengalahkan dan mematahkan hujah syaitan. Terakhir Imam As-Syafie berkata kepada Imam Al-Buyaiti : Kamu akan meninggal dekat dengan besi.” Sepanjang sejarah, Imam Ar-Rabi’ sememangnya dikenali sebagai imam yang sangat ilmunya dan menguasai ilmu hadith. Manakala Imam Al-Muzani pula bijak dengan kekuatan hujah dan kedalam ilmunya serta Imam Al-Buyaiti ketika dikunjungi oleh Imam Ar-Rabi’ saat beliau difitnah dan beliau terikat dengan rantai besi. Begitulah kisah firasat Imam As-Syafie.

Imam As-Syafie yang terkenal dengan ketokohan ilmunya sangat hebat dengan sukan memanah. Imam As-Syafie berkata “Aku selalu memanah sehinggakan doktor memaklumkan padaku kebimbangannya sekiranya aku terkena penyakit kurus kering kerana terlalu lama berdiri di bawah panas matahari saat memanah”. Imam As-syafie menambah lagi bahawa beliau ketika memanah boleh mengenai sasaran tepat Sembilan daripada sepuluh panahan. Mengenai kitab beliau yang sangat terkenal, Al-Risalah, mengenai ilmu Usul Fiqh. Kata Imam Abdul Rahman bin Mahdi yang menulis surat kepada Imam As-Syafie saat Imam As-Syafie masih bujang supaya membuat satu kitab yang mengandungi makna-makna Al-Quran, hadith yang diterima, Imam As-Syafie lalu menulis kitab Al-Risalah. Imam Abdul Rahman berkata “tidaklah pernah aku solat satu solat sekalipun sama ada solat sunat mahupun solat fardu melainkan aku memohon doa kepada Allah SWT untuk Imam As-Syafie’.  

Imam As-Syafie mempunyai kefasihan bicara yang sangat luar biasa. Beliau semenjak kecil telah tinggal bersama kabilah Bani Huzail. Kabilah ini memiliki bahasa yang sangat fasih dan sastera yang sangat tinggi. Imam As-Syafie berkecimpung sepuluh tahun dalam sastera arab dan selok belok bahasanya. Ada riwayat mengatakan Imam As-Syafie berterusan mempelajari bahasa arab disamping ilmu feqah dan hadith serta yang lain-lain selama dua puluh tahun. Ahli bahasa turut mengiktiraf Imam As-Syafie dari segi bahasanya. Sheikh Abdul Malik Ibn Hisham, seorang ahli bahasa mengatakan “Majlis ilmu kami berlangsung agak lama sekali bersama Imam As-Syafie.

Aku tidak pernah sekalipun mendengar kesalahan dalam perbicaraan beliau”. Menurut Imam Al-Zahabi “Bagaimana mungkin beliau boleh melakukan kesalahan bahasa kerana orang sepertinya dengan kehebatan bahasanya boleh menggubah syair. Beliau menambah lagi Imam As-Syafie merupakan orang Quraisy yang sangat fasih bahasanya pada zamannya dan beliau dalah guru ynag boleh dipelajari bahasa arab daripadanya.  Kehebatan bahasa Imam As-Syafie terkesan melalui penulisan syair-syair beliau menerusi kitab Diwan. Antara syair beliau “Sesungguhnya orang yang faqih itu dalam ilmu agama itu adaah dinilai dengan perbuatannya. Bukanlah orang yang faqih itu dinilai dengan ucapan dan perkataannya sahaja, tapi amalannya itu. Begitu juga pemimpin adalah dinilai dengan kemuliaan akhlaknya. Bukanlah pemimpin itu dinilai dengan banyaknya pengikut dan pembela-pembelanya.

Begitu juga orang yang kaya itu adalah dinilai dengan kedermawanannya bukan orang yang kaya itu dinilai dengan banyak harta bendanya”.  Begitu hebat dan besar sumbangan serta perjuangan Imam As-Syafie. Ketokohan ilmu beliau tidak diragui dan memanfaatkan umat manusia sehingga kini. Sekalipun beliau telah lama pergi, namun jariah ilmunya terus mengalir. Imam Ar-Rabi’ menyebut “Imam As-Syafie meninggal dunia pada malam Jumaat selepas Isyak selepas beliau solat Maghrib di akhir bulan Rejab dan umur beliau pada ketika itu 54 tahun dan dimakamkan pada hari Jumaat di Mesir”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Ogos 2017

118total visits,1visits today

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Maulid @ IKIMfm, Salam IKIMfm dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm