Mengenali, Mencintai & Meneladani Imam Ahmad Ibn Hanbal

BELIAU merupakan anak murid kepada Imam as-Syafie yang sangat dicintai oleh Imam as-Syafie yang juga dikatakan orang dengan “seorang imam yang terkenal di seluruh dunia, tidak disebut dan diingat melainkan sebagai imam yang agung. Orang ini merupakan seorang alim yang beramal dengan ilmunya dan dengan kebenaran. Orang ramai datang daripada tempat yang jauh semata-mata ingin melihat dan member salam kepadanya.” Terdapat seorang daripada Khurasan berkata “ada sebahagian kami di Khurasan yang menganggap Imam Ahmad ini bukan seperti manusia, tetapi menganggapnya seperti malaikat.” Beliau ialah Imam Ahmad Ibn Hanbal atau dikenali dengan Imam Hanbali.

Imam Ahmad menceritakan tentang diri beliau “aku dilahirkan pada bulan Rabiul Awwal tahun 164 Hijrah.” Imam az-Zahabi mengatakan ayah Imam Ahmad berasal dari Anjat (Selatan Rusia) dan meninggal sekitar usia 30 tahun. Imam Abu Mashar al-Ghassani pernah ditanya “apakah kamu tahu siapakah yang akan menjaga urusan umat ini?” Lantas Imam Abu Mashar menjawab “Seorang pemuda dari sebelah timur, iaitu Imam Ahmad Ibn Hanbal.” Imam Muzani, anak murid kepada Imam Syafie berkata “Imam Syafie berkata kepadaku : aku telah melihat seorang pemuda di Baghdad. Jika dia meriwayatkan hadith dengan katanya ‘haddathana’ – telah berkata kepada guruku, maka orang ramai akan mengatakan benar dan beliau ialah Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Para pengkaji hadith dan sejarah telah menyebut bahawa Imam Ahmad telah bermusafir khas untuk mencari ilmu sehinga ke Kufah, Iraq; Basrah, Syria; Makkah dan Madinah, Arab Saudi; Yaman, Iran, Syam, Morocco, Khurasan, Algeria serta pelbagai Negara lagi. Imam az-Zahabi mengatakan Imam Ahmad menuntut ilmu ketika umurnya lima belas tahun. Beliau menuntut ilmu dengan penuh cabaran dan kesukaran.

Kata Imam Ahmad “aku telah menulis lima buah hadith daripada Mubassyir al-Halabi di Halab, Syria lalu kami pergi ke Tartus dengan berjalan kaki.” Imam Ahmad ad-Dawarqi menyebut “ketika Imam Ahmad berjumpa dengan Imam Abdul Razak, guru hadith beliau dan aku melihat Imam Ahmad ketika itu di Makkah masih sihat dan kemas. Tetapi ketika belajar dengan Imam Abdul Razak beliau keihatan letih dan tidak terurus kerana letihnya ekoran perjalanan yang jauh. Aku pun bertanya kepada Imam Ahmad mengenai keadaanya.” Imam Ahmad kemudian menjawab “apa yang kami dapat manfaat daripada ilmu dan riwayat Imam Abdul Razak lebih berat daripada permusafiran yang jauh dan penat kerana ilmu daan manfaat yang lebih lagi.”

Imam Ahmad benar-benar menguasai ilmu hadith dan tidak perlu diragui lagi. Anak Imam Ahmad, Imam Abdullah katakana “Bapaku telah berkata padaku : ambillah mana-mana kitab yang kamu mahu daripada kitab-kitab Imam Waqiq. Jika kamu mahu bertanya kepadaku tentang kalam, maka aku akan menjawab sekali dengan sanadnya. Kalau kamu mahu tahu tentang sanadnya, maka akan aku berikan sekali hafalanku daripada semua sanadnya.” Ini membuktikan keseluruhan kitab itu, tanpa dilihat tetap dapat disebut oleh Imam Ahmad. Anak beliau turut mengatakan “ada seorang Imam bernama Abu Zur’ah berkata kepadaku : ayahmu menghafal sejuta hadith.” Lalu anak Imam Ahmad bertanya “dari mana kamu tahu?” jawabnya “aku diberitahu tentang perkara ini dan aku juga ambil beberapa bab hadith daripada beliau.”

Imam az-Zahabi juga mengatakan orang yang berkumpul di dalam majlis ilmu Imam Ahmad seramai 5000 orang atau lebih. Daripada jumlah itu, seramai lima ratus orang menulis dan bakinya ingin belajar bagaimana akhlak baik Imam Ahmad. Anak murid Imam Ahmad, Imam Ali Al-Madini mengatakan “aku telah diperintahkan oleh guruku, jangan berbicara melainkan kesemuanya yang ada di dalam kitab. Tidak ada seorang pun ulama yang lebih hafal dan kuat ingatannya daripada Imam Ahmad Ibn Hanbal.”

Anak Imam Ahmad katakan “aku mendengar bapaku katakan : aku mengharapkan agar aku selamat daripada perkara-perkara yang dijulang orang supaya ia tidak menjadi suatu bebanan nanti kepada diriku dan orang selainku.” Imam Ahmad sangat disukai orang ramai sehinggakan ramai yang berdoa bertahun-tahun agar dapat berjumpa dengan Imam Ahmad. Imam Ahmad sekitar umurnya 60 tahun lebih, tidak mengetahui mengapa dirinya ingin sangat pergi ke suatu tempat di Iraq. Beliau tiba di kota tersebut pada waktu Maghrib dan solat berjemaah. Sementara menanti masuknya waktu Isyak, beliau membaca Al-Quran. Selesai Isyak, beliau duduk di sudut masjid untuk tidur dan berehat di situ. Lalu datang seorang ahli masjid bertanya “wahai tuan, mengapa duduk di sini?” Imam Ahmad kemudian menjawab “saya di kota ini tidak mengenali sesiapa dan ingin tidur di sini.” Ahli masjid tersebut tidak membenarkan Imam Ahmad tidur di situ. Permintaan demi permintaan tetap juga ditolak. Akhirnya Imam Ahmad keluar dari masjid. Peristiwa itu dilihat oleh pembuat roti di sebelah masjid lalu memangil Imam Ahmd ke kedainya dan diajak Imam Ahmad bermalam di rumahnya. Sebelum menunggu waktu pulang ke rumah pembuat roti tersebut, Imam Ahmad memperhatikan perawakan pembuat roti yang sedang menjalankan kerjanya. Sambil membuat kerja lidahnya tidak lepas dari menyebut “aku memohon ampun dan bertaubat pada-Nya.” Lalu Imam Ahmad bertanya “sejak bilakah kamu mengamalkan ini?” Pembuat roti tersebut katakana sejak bujang sehingga kini. Kemudian Imam Ahmad bertanya lagi “apakah hasil daripada istighfarmu?” Pembuat roti tersebut katakan “tidak saya meminta apapun melainkan semuanya dikabulkan oleh Allah SWT kecuali satu sahaja iaitu saya belum diperkenankan oleh Allah SWT untuk berjumpa dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal” Imam Ahmad dengan terkejut melaunkan ‘Allahu Akbar’ dan berkata “Istighfarmu itulah yang menyebabkan aku datang ke kota ini tanpa mengetahui mengapa aku ingin datang ke kota ini.” Imam Ahmad kemudian katakan “akulah Imam Ahmad ibn Hanbal”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 September 2017
\"\"
Scroll to Top