Siasat Setiap Berita Yang Diterima

KITA perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat suatu tindakan yang merugikan. Ia akan menjadi malapetaka ke atas umat Islam jika tidak berhati-hati dan meneliti kebenaran sumber berita yang diterima. Sehinggalah ke saat dunia tanpa sempadan hari ini banyak fitnah dan berita bohong dijadikan sandaran. Kita ‘share’ sesuatu berita bukan kerana keabsahan informasi yang terkandung di dalamnya, tetapi ukuran tersebut dibuat berasaskan berapa ramai yang ‘like’ dan ‘hangat’nya info tersebut. Fahamilah bahawa jumlah ‘like’ mahupun ‘dislike’ tersebut bukanlah syarat ‘mutawatir’ berita tersebut, adakalanya dasar perkhabaran yang disebarkan itu mempunyai bukti kekeliruan dan palsuUstaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi memetik  Surah Al-Hujurat ayat 6 bermaksud Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Di dalam Al-Quran banyak menyebut perihal golongan Fasik yang menjadi ancaman besar terhadap masyarakat Islam tanpa disedari. Hal ini demikian kerana, golongan Fasik amat menonjol dan begitu agresif menzahirkan sifatnya. Allah swt banyak memberi peringatan perihal golongan Fasiq di dalam Al-Quran dengan tujuan supaya umat Islam berwaspada terhadap golongan tersebut.

Perkembangan teknologi telekomunikasi yang pesat membolehkan maklumat diterima secara pantas di hujung jari. Kemudahan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan WeChat serta laman sosial Facebook dan Twitter turut membawa kesan buruk apabila berita palsu begitu mudah disebarkan. Saya perhatikan ramai dalam kalangan kita yang terlalu mudah dan cepat menyebarkan berita yang belum tentu benar. Rata-rata nampaknya begitu taksub untuk menjadi yang pertama berkongsi sesuatu berita. Betul atau tidak, lain cerita. Berita-berita sensasi sebegini akan menular dengan cepat sebelum dapat dibuktikan kesahihannya. Sepatutnya, kita sendiri perlu sentiasa berhati-hati apabila membaca berita terutamanya yang dibaca dalam talian. Periksa sumber untuk menentukan kesahihannya. Dalam pada itu, saya tertarik dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan portal sebenarnya.my untuk membanteras penularan berita palsu di laman sosial dan internet. Ini memudahkan masyarakat menyelidik dan memeriksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan. Bagi saya portal itu adalah platform terbaik untuk berbuat demikian. Semoga lebih ramai orang akan memanfaatkan kemudahan itu. Ingatlah selalu slogan portal berkenaan Tidak pasti, jangan kongsi.

Kebanyakan kita sering tersilap langkah dalam tindakan kerana mudah menerima sesuatu perkara tanpa usul periksa. Sikap ini sebenarnya ditegah oleh Islam. Sesuatu berita, ajaran atau apa jua perkhabaran kadang-kadang palsu, dusta atau fitnah semata-mata yang hanya mendatangkan bencana keburukan. Oleh itu umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada, kerana iblis dan syaitan serta tali barut mereka yang bertopengkan manusia sentiasa berusaha menyesatkan manusia melalui pelbagai cara. Sudah tiba masanya alim ulamak kita melaksanakan nahi mungkar dengan mengingatkan kembali umat Islam serta kerajaan tentang ajaran Al-Quran seperti ayat-ayat yang dibincangkan ini. Jika perkara buruk ini berleluasa dan tidak boleh disekat lagi, berkemungkinan besar rakyat Islam di Negara ini akan dilaknat Allah dengan laknat yang tidak dijangka sama sekali. 

Dalam konteks penyampaian berita atau maklumat, Islam amat menitik-beratkan soal kepercayaan dan meyakinkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Mawardi dalam sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud “Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat berwaspada dengannya”. Berdasarkan kepada peringatan tersebut, wajarlah bagi umat Islam menyelidik terlebih dahulu sebarang berita atau maklumat yang disampaikan oleh golongan fasik dengan memastikan sejauhmana kebenarannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah, dan tergopoh-gapah adalah dari syaitan”. Demikian kerana, berita yang dibawa oleh golongan fasik boleh memberi impak yang besar terhadap individu lain dan masyarakat selain menggugat keimanan.

Dalam era kecanggihan teknologi maklumat di zaman ini, berita amat mudah disebarkan. Hanya dengan menggunakan hujung jari, maklumat akan disampaikan dengan pantas tanpa sempadan. Kecanggihan tersebut diambil peluang sepenuhnya oleh golongan fasik untuk menyebarkan fitnah bagi tujuan tertentu. Implikasinya, fitnah dan hasutan lebih mendominasi pemikiran umat masa kini.  Lantaran itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan bijak menilai sebarang berita yang diterima. Adalah tidak wajar sekiranya hubungan silaturrahim antara umat hancur hanya disebabkan oleh bahana fitnah sedangkan kerukunan dalam bermasyarakat harus dipertahankan demi kesejahteraan agama dan negara.Justeru, setiap umat Islam perlu memahami dan mengenal golongan Fasik agar dapat menghindarkan diri daripada terpengaruh . Mudah-mudahan melalui bait-bait tazkirah ini, beberapa pengajaran dapat diambil untuk dijadikan panduan dan benteng keimanan.  Wallahu A’lam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Septmber 2017
\"\"
Scroll to Top