IKIMFM BERSIARAN 12 JAM DI MENARA KL

KUALA LUMPUR, 13 November (IKIM) – IKIMfm mencipta sejarahnya tersendiri apabila bersiaran dari ketinggian 288meter di Menara Kuala Lumpur hari ini dalam siaran luar IKIMfm X Menara KL. 

Siaran 12 jam tanpa henti langsung dari Menara KL ini sebagai usaha kerjasama strategik IKIM bersama pihak Menara KL sebagai rangka promosi berterusan IKIMfm yang baru sahaja meraih pendengar hampir 1.3 juta orang. 

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty berkongsi rasa teruja untuk IKIMfm bersiaran di Menara KL dan berkongsi berita gembira tentang peningkatan jumlah pendengar IKIMfm. 

Beliau berkongsi keterujaan dan penghargaan kepada rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang telah memilih untuk mendengar IKIMfm sehingga peningkatan pendengar mencecah hampir 1.3 juta. 

“Ini menandakan program-program IKIMfm bukan sahaja bersifat konvensional walaupun kita antara 10 terbaik, tetapi kita kekal mempertahankan program-program terbaik dalam konteks program Islami,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika diwawancara pada siaran luar tersebut bersama Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

“Ini satu kemajuan besar IKIM untuk penghujung tahun 2024 sebelum menjelang tahun 2025,” tambah beliau. 

Sementara itu Ketua Pengarah IKIM dalam temubual tersebut turut berkongsi rasa syukur IKIMfm dapat bersiaran secara langsung bermula 6 pagi hingga 6 petang di Menara KL. 

Beliau berkata rancangan-rancangan terbitan di IKIMfm mengetengahkan konsep ‘no one is left behind’ yang meliputi segenap usia masyarakat. Terkini IKIMfm menghidupkan kembali rancangan kanak-kanak yang telah mendapat sambutan, Alam Ria Si Kecil yang kini bersiaran setiap Sabtu, 9 pagi. 

“Kita bukan stesen radio hiburan, tetapi kita radio Islam yang membawa mesej, membina minda, membina sahsiah untuk manusia bukan sahaja untuk umat Islam bahkan yang bukan Islam. Kita menyajikan rancangan-rancangan untuk keperluan di dunia dan di akhirat,” kata beliau. 

Siaran Luar IKIMfm X Menara KL disertai para penyampai – Tyzo Xender, Suffian Amrin, Syafiq Salleh, Siti Rohani Surani dan Mona Jasman. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, En. Nazli bin Saad ketika bersiaran turut berkongsi promosi-promosi yang berlangsung di Menara KL sempena sambutan ulangtahun ke-28 Menara KL. Maklumat lanjut berkaitan promosi Menara KL boleh didapati di : https://kltower.com.my

WhatsApp
Scroll to Top