Ibrah : Doa Nabi Ibrahim Dimustajabkan Pada Malam Al-Qadr

KEHADIRAN Ramadan yang sering kita tunggu-tunggu penuh dengan hikmah dan fadhilat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebagai bulan yang diturunkan Al-Quran di dalamnya, maka kita sebaiknya perlu jadikan Al-Quran sebagai pendamping kita di dalam bulan Ramadan ini. Sentiasa dekatkan diri kita dengan membaca dan menghayati isi kandungan Al-Quran.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu berkongsi kisah Doa Nabi Ibrahim AS dimakbulkan oleh Allah SWT pada malam Al-Qadr dan perkaitan Nabi Ibrahim AS dengan bulan Ramadan.

Ustaz Syaari berkongsi Ibrah melalui ayat 185 Surah Al-Baqarah yang bermaksud : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;”.

Perkataan Ramadan hanya disebutkan sekali di dalam Al-Quran iaitu menerusi Surah Al-Baqarah. Begitu istimewa Ramadan disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran.  

Allah SWT hadirkan kisah Ramadan ini setelah Allah SWT mengisahkan dengan penjang lebar mengenai perjuangan Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Al-Baqarah menghadapi kerenah cucu cicit bani Israel daripada zaman Nabi Musa AS. Kita akan mendapati disebalik ayat tentang Ramadan, terdapat 184 ayat yang lain yang Allah SWT ingin perihalkan tentang kefardhuan puasa dan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah apa yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS.

Taqwa adalah matlamat setiap daripada kita yang merupakan hamba Allah SWT dan demi mencapai matlamat ini kita perlukan kekuatan luaran dan kekuatan dalaman. Sekiranya diperhatikan struktur ayat 183 yang Allah hadirkan dahulu di dalam surah Al-Baqarah berbanding ayat 185, ayat 183 Allah SWT menceritakan tentang kefardhuan puasa barulah Allah SWT menceritakan tentang Ramadan dan turunnya Al-Quran di dalam bulan Ramadan.

Faktor luaran untuk seseorang bertaqwa kepada Allah SWT, dia hendaklah melatih dirinya menahan nafsu yang memilih untuk makan dan minum sekiranya makanan ada di hadapan matanya.   

Allah SWT mahukan kita bertaqwa dengan turut disertai faktor dalaman. Faktor dalaman ini ada kaitannya dengan Al-Quran yang Allah SWT sebutkan menerusi ayat 185. Taqwa ini adalah membina sistem pemeliharaan diri. Taqwa bukan semata-mata takut tetapi lebih daripada itu ialah membina satu sistem perlindungan diri agar kita selamat daripada ancaman musuh.

Orang yang mengetahui akan ada musuh yang hadir selepas Ramadan, maka mereka akan menyediakan Ramadan sebagai satu benteng agar mereka bertaqwa kepada Allah SWT. Tidak semua orang akan mendapatkan ketaqwaan ini dan hanya orang yang benar-benar faham kenapa Ramadan ini datang, maka mereka akan benar-benar mendapat taqwa.

Allah SWT menyebut Ramadan sebagai bulan Al-Quran. Menerusi ayat 185 ini, perihal siapa yang menurunkan Al-Quran tidak dinyatakan dan ini menggambarkan seolah-olah sekiranya kita tidak membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran, maka kita tidak akan mengetahui siapakah yang menurunkan Al-Quran. Maka hikmah Allah ghaibkan siapa yang menurunkan Al-Quran agar setiap daripada kita yang membacanya benar-benar memahami untuk mencari Tuhan disebalik bacaan Al-Quran.

Apabila Allah SWT mendefinisikan Ramadan sebagai bulan diturunkan Al-Quran, maka carilah yang menurunkan Al-Quran di dalam bulan Ramadan dengan cara membaca Al-Quran itu sendiri. Sekiranya kita benar-benar ingin mencapai taqwa, bukan semata-mata dengan menahan lapar dan dahaga daripada berpuasa tetapi dengan melihat prestasi pembacaan dan pemahaman Al-Quran.

Perkaitan Ramadan dengan Nabi Ibrahim AS ialah melalui doa yang Nabi Ibrahim AS panjatkan kepada Allah SWT yang dirakamkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 129 yang bermaksud : \”Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana\”.

Doa Nabi Ibrahim AS ini dimakbulkan oleh Allah SWT pada malam Al-Qadr yang diturunkan Al-Quran pada malam tersebut. Selepas 40 tahun Nabi Muhammad SAW menjadi seorang al-amin, maka Nabi Muhammad SAW menjadi seorang rasul dengan Al-Quran yang diturunkan di dalam bulan Ramadan. Doa Nabi Ibrahim AS akhirnya dimustajabkan oleh Allah SWT dengan hadirnya seorang rasul.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Jun 2016
\"2016-06-14\"
Scroll to Top