3 Rahsia Keajaiban Ramadan

BULAN Rahmat, bulan pengampunan dan bulan pembebasan dari api neraka datang lagi. Syukur  tidak terhingga kita  kepada ALLAH SWT kerana masih memilih kita bertemu dengan bulan yang ditunggu dan dirindui,  bulan Ramadan. Adalah lebih baik kita memulakan bulan Ramadan dengan memohon maaf kepada ibubapa, suami kepada isteri, isteri kepada suami, jiran-jiran, kaum keluarga, sahabat dan musuh kita. Ustaz Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata bulan Ramadan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirnya adalah kemerdekaan (dilepaskan) dari neraka (Riwayat Imam Muslim).  Bulan Ramadan terbahagi kepada 3 fasa iaitu 10 hari pertama adalah fasa rahmat, 10 hari kedua sebagai fasa keampunan, manakala 10 hari terakhir adalah fasa kemerdekaan (terlepas) dari api neraka.  

Allah SWT  berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah,  ayat 183). Bulan Ramadan merupakan bulan berkat, bulan rahmat, bulan keampunan serta mempunyai banyak kelebihan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadah bagi mencari keredhaan Allah SWT sepanjang Ramadan ini, dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni  segala dosanya yang telah lalu. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya (HR Bukhari).

Bulan Ramadan adalah bulan kerahmatan, bulan Allah menunjukkan sifat pengasihnya sehingga dihentikan seksa kubur ke atas umat Islam dan ditutup pintu-pintu neraka dalam bulan ini. Rahmat Allah, yang Allah turunkan ke dunia ini hanyalah satu per seratus sahaja, dengan 1 bahagian yang diturunkan inilah menjadikan makhluknya bersifat kasih mengasihi antara satu sama lain. Rahmat Allah SWT juga diperlukan utk melepaskan kita  daripada  azab-azab  kubur. Ketika berada di padang Mahsyar, kita hanya akan mendapat perlindungan dengan   rahmat daripada  Allah SWT (Arash Allah) malah dengan  rahmat –Nya  juga, urusan timbangan di Mizan akan dipermudahkan . Oleh itu,  dalam bulan Ramadhan,  umat Islam diseru agar memburu kasih    sayang (Rahmat) Allah SWT dengan memohon  supaya diberikan kesudahan (mati) yg baik (zahir dan rohani).

Bulan Ramadan adalah bulan keampunan dan Allah SWT menunjukkan sifat pengampunnya melalui beberapa tawaran pengampunan dosa kepada mereka yang berpuasa dengan ikhlas dan penuh keimanan, mendirikan sembahyang solat sunat tarawih,  menghidupkan malam Lailatul Qadar dan bertadarrus. Jangan putus asa dari rahmat Allah, kerana rahmat Allah itu lebih besar dari langit dan bumi. Malah, menerusi perbincangan bertajuk ‘Tiga Rahsia Ramadan’, Ustaz Muhammad turut menyatakan  bahawa bagi meraih pengampunan daripada  Allah SWT,  amalan istighfar amat digalakkan serta  melakukan amalan-amalan lain sepeti berwuduk dan menghadiri majlis-majlis ilmu.

Akhir sekali, rahsia di sebalik bulan  Ramadan  adalah pelepasan daripada api neraka. Bagi mengekalkan rahmat dan pengampunan dari  Illahi , kita perlulah berusaha memastikan segala urusan yang berkaitan rukun Islam dan Iman telah kita laksanakan sebaik mungkin . Misalnya, tidak mensyirikkan Allah SWT, menunaikan zakat, bersolat , berpuasa dan lain-lain. Dalam mengejar  barakah dan pengampunan  Allah SWT, kita  juga dituntut untuk  menjauhi diri daripada perbuatan haram, melunaskan hutang dengan  individu atau pihak-pihak  berkaitan serta menyucikan dosa yang dilakukan dengan  amalan taubat.

Puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu. Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Mudah-mudahan  Ramadan yang disifatkan sebagai bulan Rahmat, Pengampunan dan Pembebasan daripada  api neraka akan menjadi realiti yang terbaik untuk kita muhasabah diri menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik untuk persediaan alam kubur dan akhirat yang tidak dapat diketahui bahagiannya untuk kita.Pada masa yang sama,  marilah  kita memanjatkan doa agar  Allah SWT  terus memberi hidayah kepada golongan   yang masih lagi enggan menerima  kedatangan bulan Ramadan dengan hati yang terbuka serta melaksanakan ibadah berpuasa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Jun 2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top