ZULKIFLI SERU PENDEKATAN RAHMAH, TARBIAH DALAM DIDIKAN ANAK-ANAK

PUTRAJAYA, 18 Dis (IKIM) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyeru semua pihak agar kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang menekankan nilai kasih sayang, susulan penularan video memaparkan seorang anak tahfiz dipukul yang mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Beliau berkata pendekatan rahmah dan nilai kemanusiaan perlu menjadi teras dalam membina masyarakat, selari dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Rasulullah SAW mengajak seluruh manusia untuk berkasih sayang. Itulah tema yang sepatutnya kita bawa dalam masyarakat,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yasin di Masjid Mahmoodiah, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli; Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Othman; dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli berkata beliau yakin negara ini mempunyai undang-undang serta ekosistem yang kukuh bagi menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.  

“Saya yakin negara kita mempunyai undang-undang dan ekosistem yang sangat baik untuk menjamin keselamatan warganya, termasuk anak-anak. Dengan usaha dan tindakan proaktif pihak berkuasa, insyaAllah keselamatan mereka akan terus terjamin,” katanya.

Namun, beliau menegaskan penyelesaian terhadap isu seperti ini tidak seharusnya bergantung kepada tindakan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi pelbagai dimensi lain.

“Selain tindakan undang-undang, kita perlu memberi penekanan kepada dimensi pendidikan, tarbiah dan pembinaan kerohanian. Ini penting supaya semua dimensi ini dapat membentuk masyarakat yang berkasih sayang, madani dan baik di Malaysia,” katanya.

Beliau berharap pendekatan menyeluruh itu dapat membantu mencegah kejadian seumpama ini berulang serta memperkukuh nilai kemanusiaan dan ihsan dalam masyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top