BANGI, 2 Januari (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM6900 kepada dua beradik yatim piatu mangsa nahas jalan raya di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Melaka pada 23 Dis lalu.
Sumbangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar, yang menziarahi Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, yang kini berada dalam jagaan datuk mereka.
Sumbangan YAPEIM yang diterima mereka terdiri daripada sumbangan Sinar Kasih berjumlah RM4800; sumbangan bencana berjumlah RM2,000 dan satu set Foodbank YAPEIM bernilai RM100.
Sinar Kasih YAPEIM berupa sumbangan bantuan tunai RM200 sebulan setiap seorang selama 12 bulan kepada anak-anak yang kehilangan ketua keluarga.
“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban khususnya kepada datuk mereka yang mengambil tanggungjawab penuh menjaga dua beradik itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tunai dan Sumbangan Sinar Kasih kepada dua beradik tersebut di kediaman datuk mereka, Datuk Mazupi Abdul Rahman, 64, di sini.
Turut hadir Pengerusi YAPEIM Haji Abdul Khudus Bin Mohd Naaim dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pengarah YaPEIM Ameer Ali Vali Mohamed.
Sementara itu, Mazupi berkata keluarganya bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan pelbagai pihak yang tampil membantu dua beradik itu, selain menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan di Hospital Melaka yang merawat mereka sebelum ini.
Beliau berkata dua beradik itu begitu sedih sehingga perlu ditenangkan ahli keluarga, selepas dimaklumkan mengenai pemergian ibu bapa, Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, serta adik bongsu mereka Muhammad Umar, dua tahun, dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan itu.
Kemalangan pada 8.40 malam 23 Dis yang berpunca daripada tayar sebuah lori tercabut turut mengorbankan datuk dan nenek sebelah ibu kanak-kanak itu, iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, selain pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, serta penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66 tahun.
Kemalangan juga menyebabkan dua beradik itu cedera dan dirawat di Hospital Melaka, sebelum dibenarkan keluar pada 28 Dis.