CYBERJAYA, 8 Jan (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melancarkan inisiatif Tahun Infak YAPEIM 2026 dengan sasaran kutipan sebanyak RM70 juta, dalam usaha memperkukuh kedudukan YAPEIM sebagai peneraju institusi infak berimpak tinggi di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata YAPEIM telah menyalurkan lebih RM700 juta manfaat kepada masyarakat sepanjang penubuhan dengan lebih RM10 juta penerima menikmati hasil gerak kerja YAPEIM dalam bidang ekonomi Islam, pendidikan dan sosial di seluruh negara.

“Alhamdulillah YAPEIM sejarahnya telah menunjukkan bahawa telah memberikan manfaat lebih 700 juta ringgit nilai dia kepada masyarakat dan hari ni kita ingin mencetuskan lagi satu gelombang baru YAPIM, tahun infak YAPEIM dan kita sasarkan tahun infak ini sebanyak 70 juta,” kata beliau.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 dan Perhimpunan Warga Kerja YAPEIM 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, serta warga kerja YAPEIM.
Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 bertujuan menjadikan YAPEIM sebagai institusi infak pilihan utama negara, di samping memperluas penyertaan penyumbang daripada kalangan individu dan badan korporat, serta memperkukuh budaya infak sebagai norma kehidupan masyarakat.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur terhadap sifat pemurah rakyat Malaysia, selari dengan kedudukan negara di tangga ke-20 dunia dalam World Giving Index 2024 sebagai antara rakyat paling dermawan.
“Keistimewaan rakyat Malaysia ialah sumbangan yang lahir daripada keikhlasan masyarakat akar umbi. Di Gaza misalnya, sumbangan daripada rakyat Malaysia amat dihargai kerana kebanyakannya hasil kutipan di masjid, universiti dan komuniti, walaupun jumlahnya kecil namun sangat bermakna,” tambah beliau.
Zulkifli berkata YAPEIM kini memasuki era baharu yang memerlukan perubahan menyeluruh, kesatuan hati dan pendekatan strategik lebih progresif, selari dengan cabaran dunia pasca-normal yang dicirikan oleh krisis berskala besar, konflik geopolitik dan ketidaktentuan global yang semakin kompleks.

“YAPEIM bukan sekadar sebuah yayasan, tetapi sebuah gerakan perubahan. Kejayaan hanya boleh dicapai apabila kita saling berhubung antara satu sama lain, berpaksikan kepimpinan yang jelas dan terikat kepada idea serta aspirasi bersama,” ujar beliau.
Melalui pengukuhan kerjasama strategik dan peluasan liputan program ke seluruh lapisan masyarakat, YAPEIM yakin inisiatif Tahun Infak 2026 mampu melahirkan ekosistem infak yang lebih mampan, inklusif dan berkesan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi ummah.
Foto : Media YAPEIM




