WORLD #QURAN HOUR 2024 DIMERIAHKAN DENGAN KEBERANGKATAN RAJA PERMAISURI AGONG.

KUALA LUMPUR,4 April (IKIM) – World #QuranHour Kesembilan yang berlangsung di Masjid negara hari ini mengangkat tema ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dengan berpandukan surah al-Jumu’ah.

Ketibaan Seri Paduka Baginda pada 11.45 pagi diiringi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Penasihat Kumpulan Media Karangkraf yang juga merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yacub adalah sangat bermakna bagi penganjuran program pada kali ini.

Sekitar 4,000 peserta turut hadir bagi menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca,faham dan amal pada tahun ini serta bersama-sama menghiasi alunan bacaan surah al-Jumu’ah disini hari ini.

Acara dimulakan tepat pada pukul 12 tengah hari dengan pembukaan mengaji surah al-Fatihah dan al-Baqarah, seterusnya disusuli dengan penerangan sinopsis, selang seli bacaan dan tadabbur surah al- Jumu’ah.

Program diteruskan lagi dengan pesan ulama oleh Timbalan Mufti Perak Datuk, Zamri Hashim dan bacaan ikrar yang  diketuai oleh penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Munqiz Mohd Subki serta bacaan doa sebagai penutup majlis oleh Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Hosni.

Sementara itu, sebanyak lapan lokasi di enam negara turut berdaftar sebagai hotspot World #QuranHour iaitu Singapura (2),Thailand, Indonesia (2), Brunei, Bangladesh dan Arab Saudi serta sebanyak 5193 hotspot didaftar oleh pelbagai organisasi bagi penganjuran serentak di Malaysia setakat jam 3 petang pada 3 April.

Antara yang turut hadir pada hari ini ialah Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama),Dr Zulkifli Hasan; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

WhatsApp
Scroll to Top