SURAH AL-JUMU’AH MEMBENTUK PERPADUAN MASYARAKAT DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 4 APRIL (IKIM) – Surah al-Jumu’ah yang diangkat sempena World #QuranHour kesembilan yang berlansung di Masjid Negara pada Khamis sangat bersesuaian dengan situasi masyarakat Malaysia kini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, gabungan antara Ulama’, Umara’ dan Ummah adalah sangat releven dalam menjadi pemacu kepada perpaduan pada masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Surah al-Jumu’ah ini wajar diambil pengajaran dari intipatinya kerana kesemua surah di dalam al-Quran itu mempunyai makna yang begitu dalam yang boleh menjadi panduan kepada keharmonian ummah pada hari ini,” katanya pada sidang media World #QuranHour kesembilan di Masjid Negara pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut berbesar hati dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mencemar duli bersama meraikan majlis pada hari ini.

Sementara itu, Penasihat Kumpulan Media Karangkraf yang juga merangkap Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata tema pada tahun ini,  ‘Ummah #GrandReset: Kesatuan & Transformasi Sosial’ dibentuk oleh kerana situasi dunia umat Islam kini yang dalam kekacauan dan persengketaan.

Mengulas lanjut, beliau berharap masyarakat kini berganding bahu dalam memimpin negara kearah kemajuan dan melahirkan bimbangan ulama dan umara muda pada masa hadapan.

Terdahulu World #QuranHour kesembilan buat julung kalinya diadakan di Masjid Negara pada Khamis tepat jam 12 tengah hari dengan dihadiri, Raja Permaisuri Agong bersama tetamu kenamaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Scroll to Top