WHO DAN ARAB SAUDI PERLUAS PROGRAM KAD KESIHATAN DIGITAL HAJI

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Arab Saudi memperluaskan program kad kesihatan digital Haji bagi memastikan keselamatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada hampir 3 juta jemaah yang menunaikan Haji setiap tahun.

Menurut kenyataan WHO, kad kesihatan Haji ini dibangunkan berdasarkan infrastruktur utama (PKI) dalam Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Global (GDHCN) WHO.

Kad terbabit merangkumi maklumat kesihatan penting seperti keperluan ubat, alahan, status imunisasi, dan masalah kesihatan sedia ada.

“Kad ini memberi kawalan sepenuhnya kepada jemaah terhadap maklumat kesihatan mereka, membolehkan mereka berkongsi maklumat terkini dan tepat dengan petugas kesihatan yang sah di Arab Saudi, seterusnya menerima rawatan yang bersesuaian dan berkualiti,” menurut kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama perintis, lebih 250,000 jemaah dari Indonesia, Malaysia, dan Oman menerima kad kesihatan Haji tahun ini.

Susulan kejayaan program ini, WHO dan Arab Saudi bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam memperluas dan meningkatkan program kad kesihatan berkenaan.

Fasa perintis membuktikan bahawa setiap negara yang terlibat berjaya melaksanakan piawaian global dalam mengeluarkan versi kad negara mereka sendiri, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kualiti rawatan untuk jemaah Haji.

“Hari ini menandakan kemajuan ketara dalam usaha WHO menyokong negara-negara anggotanya bagi menyediakan akses kepada alat kesihatan digital yang lebih selamat dan berpusatkan individu, bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dapat diperolehi pada bila-bila masa diperlukan.

“Kami amat berterima kasih atas kerjasama cemerlang dengan Arab Saudi dan negara-negara yang terlibat, serta Pejabat Serantau WHO untuk Mediterranean Timur.

“Kami juga berharap dapat terus menyokong pembangunan kapasiti dan infrastruktur di negara-negara yang beralih kepada sistem kesihatan digital,” kata Ketua Saintis WHO, Dr Jeremy Farrar.

Sementara itu, Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur (EMRO), Dr Hanan Balkhy berkata kerjasama antara WHO dan Arab Saudi untuk memperluas inisiatif kad kesihatan Haji ini akan meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan berjuta-juta jemaah Haji.

“Dengan memanfaatkan penyelesaian kesihatan digital, kami bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan, tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan di Wilayah Mediterranean Timur dan di seluruh dunia,” katanya.

Scroll to Top