PUTRAJAYA, 24 April (IKIM) – Warga kerja agensi agama disaran agar kekal istiqamah dan konsisten dalam pamerkan budaya kerja yang cemerlang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata sifat Istiqamah dan konsisten bekerja dengan cemerlang itu sentiasa ada pada semua warga agensi agama Islam.

“Semoga mereka menjadi contoh sebagai penjawat awam yang cemerlang, yang sentiasa punya iltizam dan rajin bekerja serta memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping menjaga nama baik agensi-agensi agama,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Agensi-Agensi Di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Tahun 2024, di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada 377 penerima dari agensi agama antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP).

Selain itu, turut menerima sijil perkhidmatan cemerlang warga kerja dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan serta petugas di Pejabat Menteri dan Pejabat Timbalan Menteri.
Mohd Na’im dalam ucapannya turut mengajak warga agensi memperkukuh penggunaan aplikasi teknologi dalam tadbir urus Islam secara menyeluruh untuk memastikan agensi agama terus menjadi medium utama sebagai rujukan masyarakat dalam membekalkan maklumat yang selaras berpandukan Al-Quran dan Hadis.

“Kita memainkan peranan dalam menjelaskan naratif-naratif yang tidak sejajar dengan Al Quran dan Hadis agar sentimen-sentimen negatif yang berbaur Islamophobia dapat dikawal,” tambah beliau.
Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Hakim Syarie, YAA Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain.