‘WAQF GO LEARNING’ PENDIDIKAN DIGITAL BERTERASKAN WAKAF PERTAMA, MEMACU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (IKIM) – Waqf Go Learning, model wakaf pendidikan digital pertama seumpamanya di Malaysia, dilancarkan hari ini dalam memacu pembangunan pendidikan terutama dalam keluarga B40 dan golongan asnaf. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata platform ini menyediakan lebih 3,000 video pembelajaran merupakan inisiatif pendidikan digital berteraskan wakaf yang menggabungkan teknologi, semangat keikhlasan dan cita-cita membina generasi berilmu.

“Usaha ini turut seiring dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, kesejahteraan dan keadilan sosial. Ia memperkasakan pelajar kurang berkemampuan dengan akses pendidikan berkualiti dan kemahiran abad ke-21,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan platform Waqf Go Learning di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata kesemua platform ini boleh diakses dengan bayaran langganan yang sangat rendah berbanding harga pasaran; RM15 sebulan untuk pelajar tahap 2 sekolah rendah (4 subjek); RM20 sebulan untuk pelajar menengah rendah (4 subjek); dan RM45 sebulan untuk pelajar menengah atas (10 subjek). 

Beliau berkata, 10% daripada setiap bayaran langganan akan disalurkan kembali kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebagai dana wakaf untuk membantu pelajar miskin.

“Model ini bukan sahaja mampan, tetapi mencipta impak jangka panjang yang berterusan,” tambah beliau. 

Program kerjasama antara YWM dan ITTV Education Sdn. Bhd. (ITTV) yang mewakafkkan sepenuhnya platform ini mengandungi kuiz interaktif, forum tutor, e-kad laporan, papan pemuka pembelajaran, ciri pemantauan khas untuk ibu bapa dan guru, serta chatbot AI dan webinar langsung yang berpandukan silibus Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Beliau dalam pada itu turut mengajak sektor koprorat, agensi-agensi kerajaan serta GLC untuk tampil menjadi rakan strategik YWM untuk menaja lebih banyak pelajar asnaf dan B40 agar mereka dapat menikmati manfaat program ini. 

“Setiap tajaan bukan sahaja mengubah nasib pelajar, tetapi juga mencorak masa depan negara. Inilah wakaf dalam bentuk terunggul. Kita bukan hanya membina bangunan, bahkan membina insan dan tamadun ilmu,”kata beliau. 

Sebagai permulaan, 1,000 pelajar terawal ditawarkan akses percuma ke portal tersebut bermula hari ini, terbuka kepada pelajar daripada darjah 4 hingga tingkatan 5.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Rudzwan Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif ITTV, En. Boon Tan; dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo. 

WhatsApp
Scroll to Top