PUTRAJAYA, 14 Jan (IKIM) – Amalan wakaf perlu dibudayakan dalam kehidupan masyarakat sebagai sebahagian daripada pembinaan minda MADANI, sekali gus menjadikan wakaf sebagai pelaburan akhirat yang berterusan dan berimpak tinggi kepada pembangunan ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata wakaf merupakan satu instrumen istimewa kerana manfaatnya bersifat kekal dan berpanjangan.

“Wakaf ini adalah antara pelaburan terbaik kerana ia kekal sampai bila-bila dan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Media, inisiatif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan TV-Alhijrah, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli; Ketua Pegawai Eksekutif YWM Dr. Ridzwan Bakar; Pengerusi TV Al-Hijrah Hj. Mohd Khair Ngadiron; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mengulas mengenai Wakaf Media, beliau berkata objektif ini bukan sahaja untuk mengajak penjawat awam dan orang ramai berwakaf, malah turut membuka ruang penyertaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.
Dr. Zulkifli menyifatkan ini sebagai satu langkah strategik untuk mewujudkan budaya wakaf dalam masyarakat, bukan sekadar melibatkan penyertaan segelintir individu, sebaliknya menjadi amalan arus perdana rakyat Malaysia.
“Kita mahu melahirkan minda wakaf dalam kalangan rakyat. Inilah yang kita maksudkan sebagai minda MADANI,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa YWM merupakan sebuah agensi yang diyakini, diiktiraf dengan pelbagai anugerah serta mempunyai tadbir urus dan pengurusan kewangan yang mantap.
“Kita mahu membina keyakinan masyarakat bahawa pengurusan wakaf ini dilaksanakan secara telus dan mereka boleh melihat sendiri hasil daripada sumbangan wakaf yang diberikan,” ujar beliau.
Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof




