BANGI, 10 Mac (IKIM) – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyeru semua pihak agar menangani insiden pembakaran kenderaan milik seorang guru dikenali sebagai Cikgu Chandra dengan pendekatan bernegara yang tenang, berprinsip dan berlandaskan undang-undang.
Dalam kenyataan hari ini, WADAH memandang serius kejadian yang dilaporkan berlaku pagi tadi dan menegaskan tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan kecenderungan berbahaya ke arah penyelesaian konflik melalui cara tidak berperadaban.
Menurut WADAH, insiden itu perlu dilihat dalam kerangka lebih luas sebagai peringatan bahawa kestabilan sosial negara bergantung kepada keupayaan rakyat mengurus perbezaan secara matang, rasional dan melalui saluran institusi yang sah.
“Dalam keadaan dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik serta kebangkitan politik identiti, Malaysia tidak boleh membenarkan tekanan global diterjemahkan secara emosional dalam ruang domestik sehingga menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, WADAH menegaskan bahawa pendekatan penyelesaian terhadap sebarang konflik perlu berteraskan ketertiban undang-undang, kematangan sivik dan kebertanggungjawaban sosial, bukannya reaksi spontan yang didorong emosi.
Pertubuhan itu turut menggesa masyarakat menolak budaya “trial by social media”, mengelakkan retorik berlebihan serta memberi ruang kepada proses siasatan profesional dijalankan secara telus dan adil.
Dalam masa sama, WADAH menekankan kepentingan memperkukuh literasi masyarakat dalam era digital supaya rakyat mampu membezakan antara fakta dan persepsi serta tidak mudah dipengaruhi sentimen yang boleh mencetuskan ketegangan.
Menurut kenyataan itu lagi, pembinaan masyarakat damai menuntut disiplin wacana, keupayaan mendengar secara empatik dan komitmen terhadap nilai bersama sebagai warganegara.
Seiring dengan prinsip Islam yang menekankan keamanan dan keadilan sosial, WADAH turut mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah Fussilat ayat 34 yang menyeru agar kejahatan ditolak dengan cara yang lebih baik sehingga permusuhan dapat bertukar menjadi persahabatan.
WADAH percaya kekuatan Malaysia sebagai negara majmuk terletak pada keupayaan rakyatnya mengurus perbezaan secara berhemah, bukan secara konfrontatif.
Justeru, pertubuhan itu menggesa semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pendidik, pengamal media dan warga digital memainkan peranan membina suasana yang menenangkan, rasional serta bertanggungjawab.
WADAH juga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan bebas serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah menurut undang-undang.
“Kestabilan negara bermula dengan kematangan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.




