LENGGONG, 22 Disember (IKIM) – Pendakwah terkemuka serantau dari negara jiran Indonesia, Profesor Dr. Haji Abdul Somad atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abdul Somad telah diberikan sijil tauliah mengajar bagi Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sijil tauliah yang telah disampaikan oleh Mufti Negeri Perak, Sahibus Samahah Dato’ Seri Hj. Wan Zahidi Bin Wan Teh itu diberikan bersempena program Bicara Agama bersama Ustaz Abdul Somad di Padang Majlis Daerah Lenggong, Jumaat lalu (20 Disember).
Program yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah itu telah dihadiri oleh lebih 10 ribu pengunjung bagi mengikuti perkongsian ilmu oleh Ustaz Abdul Somad.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad dalam ucapan pada majlis tersebut berkata semoga perkongsian yang disampaikan dapat memberi manfaat dan ilmu serta hidayah kepada yang hadir.
“Daripada ilmu dan hidayah ini kita doakan supaya Allah mempererat ikatan silaturrahim sesama kita dan elakkan kita daripada membuat fitnah atau mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyakiti hati sesama kita,” ujar beliau.
Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dan Majlis Pelancongan Lenggong ini diadakan bersempena Hari Sayangi Lenggong.
Turut hadir dalam program tersebut Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang juga Felo Pusat Pengajian Islam Oxford, Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti.
Dalam kunjungan ke Lenggong, Ustaz Abdul Somad turut berkesempatan dibawa melawat ke Galeri Lenggong Geopark, di sini yang merupakan salah satu lokasi pelancongan di daerah tersebut.