USM RANGKUL JOHAN VIPKI 2025 MENERUSI KERYA ‘ANGAN’

SHAH ALAM, 3 Dis (IKIM) – Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai Johan Pertandingan Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) 2025 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi karya bertajuk “Angan”.

Karya yang mengetengahkan kisah inspirasi tentang seorang pemuda gigih mengejar impian dengan penuh rasa syukur dan tanpa keluh-kesah sehingga mencapai kejayaan, berjaya membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Kemenangan tersebut diumumkan pada majlis penutup yang berlangsung di Shah Alam, dengan hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman yang turut merasmikan majlis penutupan. 

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr. Mohd Zaidi Ismail.

Pertandingan yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu berjaya menarik 117 penyertaan daripada 25 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara, melibatkan 585 pelajar daripada pelbagai latar belakang. 

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof berkata 25.6% peserta terdiri daripada pelajar bukan Islam, sekali gus mencerminkan penyertaan inklusif dan semangat muhibah dalam kalangan generasi muda.

Program ini turut menerima penajaan daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), selain kerjasama strategik daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

IKIM dalam satu kenyataan berharap pertandingan yang diselaraskan dengan jayanya oleh tvIKIM ini akan terus menjadi platform memperkukuh kefahaman Islam, mempromosikan nilai keharmonian dan mempertemukan bakat kreatif pelbagai kaum melalui medium seni visual.

Video penuh karya pemenang boleh ditonton di www.tvikim.my.

WhatsApp
Scroll to Top