ULAMA SERU KEJELASAN PANDUAN ISU PERAYAAN BUKAN ISLAM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (IKIM) – Umat Islam memerlukan panduan yang jelas dan berautoriti dalam menangani isu penglibatan dalam perayaan bukan Islam agar prinsip akidah terus terpelihara tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Emeritus Dato’ Dr Yusof bin Haji Othman berkata, kekeliruan berkaitan isu tersebut sering berpunca daripada kegagalan membezakan antara perkara yang melibatkan akidah dan ibadah dengan unsur budaya serta kemasyarakatan.

“Malaysia sebagai negara yang dibina atas kepelbagaian agama, budaya dan tradisi memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan agar ia menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan bersama”, katanya ketika merasmikan Syarahan Khas Fellow Kehormat IKIM bertajuk “Perayaan Bukan Islam: Antara Agama dan Budaya” yang disampaikan oleh Datin Paduka Prof Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali di ibu negara.

Katanya, realiti masyarakat majmuk menuntut umat Islam berinteraksi secara matang, berprinsip dan beradab tanpa mengorbankan asas keimanan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepelbagaian adalah ketetapan Ilahi sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang menegaskan manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali, dan kemuliaan di sisi Allah SWT diukur berdasarkan ketakwaan.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa tanpa kefahaman yang jelas, isu perayaan bukan Islam boleh menimbulkan salah faham serta ketegangan antara agama dan kaum.

“Pendekatan berasaskan ilmu amat penting agar wacana agama terus dipandu oleh hikmah dan kefahaman, bukan sentimen dan emosi,” katanya.

Syarahan khas tersebut diadakan sebagai wadah memperkukuh kefahaman Islam yang berteraskan ilmu serta realiti masyarakat majmuk, di samping memberi pencerahan berkaitan garis panduan interaksi antara agama dalam konteks Malaysia.

WhatsApp
Scroll to Top