MERUNGKAI maksud ayat yang ke-69 daripada Surah al-Ahzab, Ustaz Muhammad Al-Amin dalam Pesona d\’Zahra pada minggu lalu, memberi peringatan tentang manusia yang berkeperibadian suka mencaci, mengkritik atau mengecam dan persepsi yang perlu ada oleh orang yang menjadi mangsa kepada perbuatan tersebut. Ayat yang sebagaimana tafsirannya yang bermaksud: \’Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang Yahudi yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya daripada segala cacian yang mereka katakan dan adalah dia seorang yang dimuliakan disisi Allah (Surah Al Ahzab ,ayat 69) . Setiap orang yang beriman yang percaya kepada Allah akan terpanggil untuk memahami ayat berkenaan demi mendapat pengajaran daripadanya. Tafsir pimpinan al-Rahman telah merujuk kepada orang-orang Yahudi sebagai golongan yang mencaci Nabi Musa. Akhirnya Allah memberikan kemenangan kepada Nabi Musa. Asbab ayat ini turun adalah ketika Nabi Muhammad S.A.W menerima cacian sewaktu menganjurkan sebuah majlis keramaian. Dalam situasi mengalami kesedihan sewaktu diuji, Baginda SAW sering memikirkan baginda tidak keseorangan. Baginda juga selalu teringat kepada ujian lebih hebat yang Allah timpakan kepada Nabi Musa a.s.
Selain itu, ayat tersebut menjadi peringatan kepada orang-orang yang beriman supaya jangan sewenang-wenangnya mengutuk atau mengkritik orang disekeliling mereka sesuka hati kerana Allah berkuasa mempertontonkan kebenaran. Kisah dalam surah ini juga boleh dijadikan iktibar dalam perkahwinan supaya sifat berhati-hati sewaktu berbicara serta tindakan terhadap pasangan diperhalusi bertujuan untuk menjurus kepada mempamerkan tingkatan akhlak yang terpuji. Dalam konteks kehidupan sesebuah rumahtangga juga, tidak akan terlepas daripada situasi yang menyebabkan suami atau isteri berkecil hati dengan perilaku pasangan masing-masing. Walau sehebat manapun tarbiyah diri seseorang itu, tetap akan terluka sekiranya disakiti sungguhpun dengan kadar yang sedikit.
Apabila berhadapan dengan rasa sempit hati akibat disakiti, seseorang perlulah berfikiran positif dengan melakukan dua perkara. Pertama ialah bersyukur kerana bukan dia yang melakukannya, bahkan pasangannya kerana Allah tidak pernah menjadikan maksiat atau benda ingkar sebagai ubat atau ketenangan bagi hati. Perlu rasa bersyukur juga atas keinsafan bahawasanya terdapat orang-orang yang lebih hebat dugaannya oleh Allah SWT.Kedua adalah bersabar di atas ujian itu kerana manusia normal akan sentiasa diuji. Allah SWT telah berfirman, \” Janganlah kamu mengatakan kamu beriman melainkan kamu diuji\”.Kita tidak sama sekali boleh membandingkan ujian yang kita lalui secara satu lawan satu dengan orang lain yang kita kenali. Ujian dikalangan hamba-hamba Allah adalah sangat berbeza. Terbaik yang perlu kita lakukan adalah menganggap semua orang diuji untuk mengukur tahap keimananan masing-masing kerana manusia yang berakal pasti akan diuji tahap iman bertujuan untuk tingkatan darjat disisi Allah S. W. T.
Terdapat perbezaan antara ujian-ujian ini dari segi bentuk. Namun yg demikian, persamaannya adalah semua ujian tidak kira kecil atau besar, sifatnya menyempitkan hati. Oleh itu sewajarnyalah setiap yang bergelar Muslim terlebih dahulu perlu bersabar terhadap setiap dugaan kehidupan dalam apa sahaja bentuk dengan memahami konsep ujian yakni sebagai hamba Allah layak menerima ujian dan bersyukur kerana ujian adalah merupakan salah satu pendekatan penyucian diri atau peningkatan darjat. Berdoa serta bermunajat adalah pilihan yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang ingin melepasi segala kesukaran dan dengan secara tidak langsung akan menghampirkan seseorang kepada Allah. Oleh itu, manusia yang tinggi tahap keimanannya akan menganggap ujian Allah sebagai landasan baginya untuk berada pada kedudukan yang lebih tinggi di sisi Allah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Julai 2017