BANGI, 17 April (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menzahirkan penghormatan terakhir kepada tokoh ilmuwan Islam, Allahyarham Abdul Halim El-Muhammady yang meninggal dunia semalam.
Beliau yang dalam perjalanan ke Perak sempat singgah di Masjid Teras Jernang bagi menunaikan solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Menurut beliau, suasana di masjid tersebut dipenuhi lautan manusia yang hadir untuk menunaikan solat jenazah, menggambarkan betapa besar jasa dan kasih masyarakat terhadap Allahyarham.
“Keadaan penuh sesak seolah-olah suasana Solat Jumaat, mempertemukan sahabat, guru dan pelajar yang menjadi saksi kepada sumbangan besar beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Allahyarham Ustaz Dr. Abdul Halim El-Muhammady dikenali sebagai antara tokoh perintis yang mempelopori kesedaran serta amalan kewangan Islam di Malaysia.
Beliau juga merupakan adik kepada tokoh pemikir Islam tersohor negara, Allahyarham Muhammad Uthman El-Muhammady.
Allahyarham merupakan graduan pendidikan syariah dari Universiti Al-Azhar pada tahun 1972 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di University of St Andrews dan menamatkannya pada tahun 1977.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham turut terlibat dalam gerakan dakwah dan pembangunan masyarakat Islam, termasuk menjadi antara generasi awal yang mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama tokoh-tokoh lain seperti Anwar Ibrahim dan Allahyarham Razali Nawawi pada era kebangkitan kesedaran Islam sekitar 1970-an.
Dalam kenyataannya, Zulkifli berkata pemergian seorang ilmuwan seperti Allahyarham bukan sekadar satu kehilangan besar, malah menjadi peringatan bahawa kehidupan di dunia ini bersifat sementara.

“Ilmu yang bermanfaat itulah warisan sebenar yang ditinggalkan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan beliau dalam kalangan para solihin.
Kredit foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan




