MAIWP SALUR BANTUAN AIDILFITRI KEPADA LEBIH 38,000 ASNAF

KUALA LUMPUR, 17 April (IKIM) – Seramai 38,850 asnaf di Wilayah Persekutuan menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan RM18.17 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan memaklumkan bantuan yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni golongan memerlukan, selaras dengan semangat #MadaniMembantu.

“Bantuan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kasih dan kebersamaan dalam memastikan golongan asnaf turut merasai kegembiraan Syawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara penerima bantuan tersebut ialah pelakon veteran Maimunah Ahmad yang dikenali sebagai ‘Mak Jah’ daan beliau turut mendoakan agar segala urusan penerima dipermudahkan.

Selain itu, MAIWP turut menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM138,000 kepada keluarga dan anak-anak asnaf sebagai usaha menceriakan sambutan Aidilfitri mereka.

Dalam memperkukuh usaha kebajikan, MAIWP juga memperuntukkan RM3.136 juta melalui kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan dakwah.

Menurut Zulkifli, sehingga kini lebih RM257 juta dana zakat telah diagihkan oleh MAIWP menerusi pelbagai skim bantuan dan pembangunan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Beliau menegaskan komitmen berterusan kerajaan dan MAIWP dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela serta tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.

Kredit foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top