KUALA LUMPUR, 8 Ogos (IKIM) – Umat Islam diseru agar sentiasa menjaga ibadah dan memperkukuh ketakwaan kepada Allah SWT sebagai asas kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Sheikh Dr Salah al-Budair, Imam Masjid Nabawi Madinah hari ini, beliau menegaskan bahawa hati manusia hanya akan hidup dan tenang apabila sentiasa mengingati Allah, namun akan menjadi mati dan lalai apabila jauh daripada zikrullah

“Hati yang hidup ialah hati yang terikat dengan al-Qur’an, tunduk kepada perintah Tuhan, dan sentiasa sedar akan akhirat,” kata beliau ketika menjadi khatib solat Jumaat di Masjid Negara di sini hari ini.
Beliau kini dalam lawatan ke Malaysia atas jemputan untuk Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65.
Sementara itu, beliau berkata ganjaran syurga menanti bagi mereka yang menjaga solat, menundukkan pandangan serta memelihara lidah dan kemaluan daripada perkara yang dilarang.

Sheikh Dr Salah turut mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan yang sementara, dan kematian pasti akan menjelma tanpa mengira usia atau keadaan.
“Apabila roh sampai ke kerongkong, dunia tidak lagi berguna. Mati datang tanpa izin, dan sakit tidak mengenal masa. Jangan biarkan hati kita terus lalai,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru umat Islam agar segera bangkit daripada kelalaian dan bersiap siaga menghadapi kematian dengan memperbanyak taubat dan amal soleh.

Khutbah penuh penghayatan itu menjadi peringatan yang mendalam kepada para jemaah agar tidak menangguhkan perubahan ke arah hidup yang lebih bertakwa, kerana tiada jaminan umur akan panjang dan peluang kedua tidak selalu datang.
Beliau kemudiannya mengimamkan solat Jumaat yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dan Imam Besar Masjid Negara, Haji Ehsan Mohd Hosni.
Foto: FB Dato’ Setia Dr. Naim