RASULULLAH SAW berpesan kepada umat manusia bahawa ada tiga tempat atau keadaan yang amat ditakuti ketika berada di Padang Mahsyar. Pertama ketika melayangnya suratan amalan manusia, kerana ketika itu belum dipastikan sama ada menjadi ahli syurga atau neraka. Kedua ialah sewaktu timbangan amalan dan ketiga ialah ketika manusia melalui titian sirat. Baginda juga mengingatkan kita agar sentiasa berdoa semoga beroleh keselamatan ketika melalui waktu-waktu tersebut.
Timbangan amalan merupakan ketika semua manusia berdiri di Padang Mahsyar dalam keadaan keliru. Manusia akan dibiarkan Allah tanpa diadili di Padang Mahsyar selama 70 ribu tahun. Kemudian mereka mula mencari para nabi untuk memohon pertolongan namun semuanya tidak mampu membantu kecuali nabi Muhammad SAW. Lalu Baginda mula sujud memohon agar Allah mula mengadili umat manusia. Kemudian Allah mula memerintahkan agar segala amalan umat manusia ditimbang dan diadili, sesungguhnya ia merupakan berita gembira kepada umat manusia yang dizalimi ketika berada di dunia dahulu namun ia satu kecelakaan bagi mereka yang melakukan khianat ketika hidup di dunia.
Di dalam Surah al-Mukminun, ayat 102-103, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam.” Seorang demi seorang mula dipanggil oleh Allah untuk ditimbang amalan mereka. Nabi Muhammad SAW mula-mula dipanggil Allah untuk ditimbang amalan dan Baginda disoal dalam tempoh yang singkat dan ringkas, lalu kemudian Baginda dilepaskan dan seterusnya diikuti oleh sahabat-sahabat Baginda. Telapak kaki manusia tidak akan berganjak ketika berada di Padang Mahsyar sehingga ditanya Allah tentang empat perkara iaitu kemanakah umur kita dihabiskan ketika hidup, kemanakah dihabiskan masa muda dahulu, dari manakah sumber harta benda yang diperolehi kita hidup di dunia dan kemana harta itu dibelanjakan, dan akhirnya disoal tentang ilmu yang telah diamalkan ketika hidup dahulu.
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui perkongsiannya di dalam slot Mau’izati yang ke udara setiap Khamis di IKIMfm jam 5.15 petang berkata menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, akan datang seorang lelaki yang besar dan gemuk pada Hari Kiamat nanti, namun tidak dinilai Allah dari timbangan berat badannya, sebaliknya ditimbang dari segi amalan-amalan yang dilakukannya. Di antara amalan yang paling baik untuk dilakukan dan memberatkan timbangan ialah kalimah lailaha illallah muhammadur rasulullah. Hadis riwayat Imam Ahmad, disebut bahawa amalan yang paling berat di Hari Akhirat nanti di atas timbangan manusia ialah akhlak dan peribadi manusia sehingga Rasulullah SAW berpesan, membuang sampah di jalanan itupun merupakan akhlak baik yang mampu menyelamatkan manusia ketika ditimbang amalannya oleh Allah.
Tiga perkara akhlak yang perlu dipelihara ketika hidup di dunia iaitu pegangan akidah, menjaga ibadah iaitu menjaga solat, menutup aurat dan tidak melakukan maksiat dan amalan seterusnya yang perlu dijaga ialah akhlak yang baik. Setiap manusia mencorakkan dirinya untuk memiliki timbangan amalan yang berat untuk dinilai di hadapan Allah di Padang Mahsyar.
Satu golongan yang tidak akan dihisab dan ditimbang amalannya di hadapan Allah nanti dan dimasukkan kedalam syurga Allah seramai 70 ribu orang kerana golongan ini tidak pernah berbomoh sepanjang hidupnya, tidak pernah menjadi bomoh atau menyihirkan orang lain, tidak pernah mempercayai perkara-perkara khurafat dan orang yang hidupnya hanya bertawakal kepada Allah SWT. Sahabat Rasulullah, Ukasyah bin Mihsan kemudian berkata, “Ya Rasulullah tolong doakan aku agar tergolong di kalangan 70 ribu orang yang memasuki syurga tanpa dihisab Allah SWT.” Baginda menjawab, “Kamu adalah salah seorang daripada kalangan 70 ribu orang tersebut.”
Apabila bermulanya timbangan, Allah mendedah setiap satu amalan yang dilakukan manusia ketika hidup di dunia dahulu. Catatan amalan ialah segala amalan yang dikeluarkan semula oleh Allah pada Hari Kiamat untuk dibaca, bermula daripada amalan kebaikan yang dilakukan bermula akil baligh sehingga meninggal dunia. Kemudian Allah jelaskan kembali segala keburukan, didedahkan segala kemaksiatan lalu dibaca dan manusia menghitung dirinya sendiri sebelum dinilai Allah SWT. Sebelum timbangan amalan dilakukan, datangnya catatan atau suratan amalan, manusia masing-masing berkata, “Buku apakah ini? Semuanya dicatat Allah segala amalan-amalan.” Ketika melayangnya suratan amalan, jika diterima manusia melalui tangan kanannya, maka dia akan tergolong di kalangan ahli syurga. Namun sekiranya suratan amalan diterima melalui tangan kiri maka dia tergolong sebagai ahli neraka.
Digalakkan agar setiap manusia memohon keampunan daripada Allah, daripada dosa yang telah lalu, dosa yang akan datang, dosa yang tersembunyi dan dosa yang dilakukan di dalam keadaan sedar. Rasulullah SAW menjelaskan, manusia yang bakal dimasukkan ke dalam syurga akan ditunjukkan amalan buruknya terlebih dahulu sehingga menakutkan dirinya, lalu ditunjukkan pula amalannya yang baik-baik yang akhirnya amalan baik itu menghapuskan amalan buruknya. Tetapi bagi ahli neraka, ditayangkan amalan baiknya terlebih dahulu sehingga dirinya menjadi seronok dan bangga. Tiba-tiba ditunjukkan pula amalannya yang buruk yang menakutkan dirinya, lalu dihumbankan ke neraka Allah. Oleh itu usahakan diri ketika hidup di dunia ini dengan melakukan amalan-amalan baik agar apabila tibanya waktu dinilai timbangan amalan di hadapan Allah di Padang Mahsyar kelak kita tergolong di kalangan mereka yang diganjari syurga.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 September 2016