Tiga Penyakit Kronik

PARA ulama berperanan menyampaikan dakwah yang mampu merawat penyakit hati yang pada hakikatnya lebih kronik berbanding penyakit-penyakit fizikal lain. Penyakit fizikal dapat dilihat oleh kaca mata manusia dan boleh dinilai tahap keseriusannya melalui analisa doktor perubatan. Manakala penyakit yang berpunca daripada hati hanya dapat diketahui oleh si empunya diri dan Allah SWT. Imam al-Ghazali telah menyatakan secara jelas bahawa perjalanan menyembuhkan penyakit hati ini merupakan perjalanan yang sangat panjang dan amat sukar. Malah ilmu berkaitan dengannya sudah semakin pudar dan manusia sudah mula lalai untuk mengkajinya kerana dikaburi keindahan dunia yang sangat mempesona sehingga manusia lupa pentingnya merawat penyakit hati.

Sebagaimana saranan yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Kadir al-Joofre melalui slot Tarbiyah di IKIMfm, perlunya hati manusia dirawat dan diingatkan agar sentiasa membetulkan niat mereka. Adalah malang bagi mereka yang menemui ajal ketika berada di dalam situasi terpesong daripada niatnya dan lalai daripada tanggungjawabnya sebagai hamba kepada Allah SWT kerana berakhirnya kehidupan mereka di dalam keadaan sia-sia. Di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, terdapat tiga penyakit hati yang paling utama dan ia juga akan mencetuskan penyakit-penyakit lain yang mampu membinasakan manusia iaitu hasad dengki, riak dan ujub. Malah Rasulullah SAW juga mengingatkan manusia bahawa terdapat tiga perkara yang mampu merosakkan manusia iaitu sifat bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kagumnya seseorang dengan dirinya sendiri.

Orang yang dengki terhadap orang lain lebih buruk daripada manusia yang kedekut iaitu sifat tidak mahu berkongsi nikmat yang dimilikinya. Sebaliknya orang yang dengki bersifat kedekut terhadap perkara atau sesuatu yang tidak dimilikinya yang datang daripada perbendaharaan Allah. Orang yang berhasad dengki diazab di dunia dan akhirat kerana menderita siang dan malam akibat tidak mampu menerima hakikat nikmat yang dimiliki oleh orang lain, sentiasa berada di dalam tekanan walaupun tiada kaitan dengan perjalanan hidupnya. Sesungguhnya kekayaan yang sebenar adalah ketenangan hati, mereka yang memiliki jiwa yang tidak tenang adalah yang paling menderita. Manakala pada Hari Akhirat kelak, penyakit hasad akan memakan segala amalan dan kebaikan yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu, seperti api yang memakan kayu sehingga menjadi debu. Penyakit ini jugalah yang menyebabkan amalan manusia ditolak oleh Allah SWT dan manusia tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Imam al-Ghazali menjelaskan cara bagaimana sesorang itu mengetahui dirinya mengalami penyakit hati iaitu apabila melihat sesuatu kebaikan yang diperolehi oleh orang lain, adakah kita gembira dengan keadaan itu atau sebaliknya. Hati yang sihat akan merasa gembira apabila melihat orang lain dikurniakan nikmat dan kebaikan, tetapi jika sebaliknya jika ada perasaan tidak senang melihat keadaan itu, maka berhati-hatilah kerana mereka akan tergolong di kalangan manusia yang mempunyai penyakit hati dan memerlukan rawatan segera. Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.

Penyakit riak ialah melakukan sesuatu untuk tujuan dilihat oleh orang lain sama ada menyempurnakan sesuatu pekerjaan, melakukan amal kebaikan atau beribadat. Riak akan menyebabkan tercetusnya penyakit hati yang lain iaitu sum’ah. Pada hakikatnya mereka yang riak tidak pula merasa dirinya hebat tetapi cukup sekadar mahu dilihat dirinya bagus di mata orang yang berada di sekelilingnya. Pada Hari Akhirat nanti mereka akan mempertikaikan hilangnya pahala bagi setiap amalan yang dilakukan ketika di dunia seolah-olah tidak pernah melakukannya sepanjang hidup mereka. Bagi mereka yang riak, hanya pujian yang diperolehi ketika di dunia terhadap segala amal kebaikan yang mereka lakukan dan ia akan berakhir didunia tanpa beroleh apa-apa ganjaran pada Hari Akhirat. Sebenarnya apabila dinilai segala amal kebaikan dan ibadat yang disempurnakan, hampir kesemuanya bertujuan semata-mata untuk dilihat oleh manusia lain.

Penyakit hati seterusnya iaitu ujub akan turut melahirkan takabbur. Ujub ialah perasaan kagum kepada dirinya sendiri dan ia merupakan penyakit yang sangat merbahaya dan mampu membinasakan manusia. Orang yang ujub akan memandang dirinya dengan pandangan yang penuh kemuliaan dan kebesaran dan diantara petanda seseorang itu mempunyai penyakit ujub ialah sentiasa merujuk kepada kehebatan dirinya di dalam melakukan sesuatu perkara dan mempunyai sifat keakuan yang melebihi batas. Dengan mengetahui ciri-ciri yang ada pada penyakit hati, sewajarnya manusia perlu melakukan koreksi diri agar tidak terus terjebak di dalam golongan manusia yang memiliki penyakit tersebut dan tidak seharusnya menilai hati orang lain kerana hanya si empunya diri mengetahui hakikat keadaan hatinya yang sebenar.

Manusia yang memiliki sifat ujub akan memberi nasihat yang sangat keras kepada orang lain, sebaliknya apabila diberi nasihat, mereka akan bersikap degil kerana menganggap dirinya lebih hebat daripada orang lain. Apabila merasai kehebatan diri, mereka akan memandang orang lain lebih rendah darjatnya dan akan mudah menghukum seseorang secara melampaui batas. Peringatan juga buat manusia yang sentiasa melihat kelemahan dan petanda penyakit hati yang terdapat pada orang lain, kerana tanpa disedari penyakit itu juga ada di dalam diri mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Mac 2018
\"\"
Scroll to Top