Kuala Lumpur, 28 Mei (IKIM) – Penerbitan tiga judul buku baharu di bawah Siri Infografik Hifz Al-Mal (Pengurusan Harta Keluarga Islam) oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) iaitu hibah, harta pencarian dan wasiat adalah sebahagian daripada usaha mengurangkan kekeliruan masyarakat Islam dalam masalah yang berkait.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata terbitan baharu dalam bentuk infografik ini bertujuan memberikan kefahaman yang lebih mudah kepada orang awam dengan adanya gambaran garis panduan secara satu persatu.
“Judul yang dibentuk secara infografik ini banyak membantu dalam aspek garis panduan tentang bagaimana untuk menuntut harta sepencarian, wasiat dan hibah serta dilampirkan borang-borang tertentu untuk mereka isi dan kemukakan kepada pihak berkuasa sebagai rujukan untuk menyelesaikan masalah berkaitan wasiat misalnya.”
Mohamed Azam berkata idea penerbitan naskhah berkonsepkan infografik itu tercetus selepas pihaknya berjaya melaksanakan beberapa bengkel berkenaan pengurusan harta keluarga Islam kepada orang awam sejak 2018.
“Idea untuk menerbitkan buku dalam bentuk infografik ini tercetus selepas kami mengadakan beberapa bengkel dan pihak terlibat menyarankan kami untuk menyimpulkan dan memperkemaskan nota informatif yang digunakan untuk diolah menjadi buku,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Pelancaran Buku Terbitan IKIM di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Karya buku bagi Siri infografik ini juga ditaja sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan antara penyumbang dalam penerbitan naskhah ini adalah dari kalangan hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, pensyarah, pegawai tadbir kerajaan dan pegawai IKIM.
Mengulas lanjut beliau berkata tiga buku baharu bagi Siri Infografik Hifz Al-Mal yang bertajuk ‘ Wahai Anak Muda!’, ‘Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam’ serta ‘Islam dan Isu Makanan Kontemporari’ dijadual akan dilancarkan pada Jumaat ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).