TIADA KOMPROMI TERHADAP PENYELEWENGAN DANA ZAKAT – MENTERI AGAMA

KUALA LUMPUR, 20 Okt (IKIM) – Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan dalam pengurusan dana zakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, laporan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat di bawah salah satu agensi agama telah diambil maklum dan tindakan segera sedang dijalankan.

“Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Na’im menegaskan bahawa tiada sebarang usaha untuk menutup kes berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati bersalah mengikut undang-undang sedia ada.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengadu dan masyarakat awam yang tampil melaporkan salah laku tersebut, sambil menyifatkan keberanian itu sebagai contoh integriti dan tanggungjawab bersama.

“Saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah. Setiap laporan akan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan kerana kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan setiap bentuk salah laku ditangani secara tegas dan telus.

“Tiada kompromi terhadap integriti. Tiada perlindungan terhadap salah laku,” tegas beliau.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top