SHAH ALAM, 14 Disember (IKIM) – Bagi menyahut seruan kerajaan dalam membangun Malaysia Madani dan mensejahterakan kehidupan rakyat, Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi inisiatif program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM900,000 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi program Iqra’ THdi sini, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif ini memberi manfaat kepada seramai 1,523 orang pelajar Diploma dan Ijazah daripada keluarga asnaf di UiTM Shah Alam.
“Sumbangan ini akan diberikan kepada para pelajar sebagai wang bantuan sara diri secara ‘one off’ di antara RM600 dan RM500 seorang, yang akan dikreditkan terus ke akaun Tabung Haji para pelajar terpilih,” kata beliau.
Mohd Na’im ketika berucap merasmikan program ini turut berharap bantuan wang sara diri ini akan dapat meringankan beban kewangan para pelajar asnaf yang terpilih, justeru membantu mereka untuk lebih fokus dalam pelajaran.
“Saya ingin menyeru para pelajar terlibat untuk menggunakan sumbangan ini dengan sebaik-baiknya demi kecemerlangan pelajaran masing-masing dan bukan kepada benda-benda yang tidak bermanfaat,” ujar beliau.
Beliau menambah program sebegini menjadi asas kepada pembinaan Malaysia Madani yang sering diangkat oleh Perdana Menteri agar anak-anak ini menghayati dan menjadi mahasiswa yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang mantap, menguasai bidang yang dipelajari tetapi yang penting adalah mahasiswa dapat menjadi contoh teladan yang baik serta memiliki akhlak dan nilai pekerti yang mulia.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri mencontohi program sebegini dalam usaha membantu mengurangkan jurang pendidikan dan meringankan beban kewangan para pelajar daripada golongan asnaf fakir miskin ini dan yang memerlukan.
Sementara itu, Muhammad Fareed Shah Abdullah antara penerima manfaat program ini berkata sumbangan ini dapat membantu para pelajar dalam mengurangkan beban dalam aspek kewangan.
Bagi Hanis Hazwani Othman pula, beliau sangat bersyukur dapat membuka akaun TH dan sekaligus meneria sumbangan menerusi program Iqra’ TH ini.
Turut hadir dalam majlis ini Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Tuan Mustaffa Kamil Ayub.