TH SANTUNI GOLONGAN ASNAF DI KAMPUNG BHARU

KUALA LUMPUR, 2 Disember (IKIM) – Seramai kira-kira 100 pelajar sekitar Kampung Bharu, di sini menerima sumbangan menerusi Program Bijak Bestari Kampung Bharu. Program inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) itu bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar dan juga sebagai menyokong usaha Kerajaan melalui inisiatif Kampung Angkat Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata isu keciciran perlu ditangani melalui kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi awam dan swasta serta organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Sehubungan dengan itu, saya memuji usaha semua agensi Islam termasuk Tabung Haji yang mengambil inisiatif untuk menangani isu keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya di Kampung Bharu sebagai salah satu aktiviti di bawah Program Kampung Angkat MADANI dan Santuni MADANI ini,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran Program Bijak Bestari Kampung Bharu di sini, hari ini. 

Beliau turut berkata program yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 14 Disember 2024 ini merangkumi aktiviti seperti kelas tuisyen, kem motivasi, bengkel dan seminar pembelajaran bagi memupuk minat pelajar untuk terus hadir ke sekolah.

“Insiatif ini adalah satu bentuk sokongan untuk melengkapkan usaha gigih yang telah sedia dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan,” tambah beliau. 

Beliau berkata usaha untuk memperkasakan lagi tahap pendidikan di semua peringkat masyarakat serta memberi sokongan khusus kepada pelajar, terutamanya daripada keluarga asnaf dibuat dengan agresif dan terancang.

Sementara itu, bercakap mengenai situasi banjir dalam negara ketika ini, beliau telah meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) segera menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.

Beliau berkata perkara itu perlu dilaksanakan secepat mungkin menerusi peruntukan RM12 juta yang telah disediakan memandangkan keadaan banjir ketika ini sangat mendesak.

“Fokus adalah kepada negeri-negeri terlibat banjir, khususnya di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu malah di Kedah juga. Johor dan Pahang juga sudah mula banjir,” ujar beliau kepada pemberita dalam majlis sama. 

Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman. 

Gambar : YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar

WhatsApp
Scroll to Top