TH SALUR RM1.4 JUTA ZAKAT WAKALAH KEPADA 14 SEKOLAH PENDIDIKAN ISLAM

Kuala Lumpur, 14 Feb (IKIM) — Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan RM1.4 juta zakat wakalah kepada 14 sekolah berteraskan pendidikan Islam di seluruh negara bagi menyokong inisiatif Program Sekolah Angkat MADANI.

Sumbangan sebanyak RM100,000 kepada setiap sekolah yang terdiri daripada sekolah agama, madrasah, pondok dan tahfiz di 14 negeri itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 700 pelajar, khususnya dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran, bantuan kewangan serta pembangunan akademik dan sahsiah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pengagihan zakat wakalah itu selaras dengan Maqasid Syariah bagi memastikan zakat dimanfaatkan secara strategik, tersusun dan mampan.

Beliau berkata zakat wakalah yang disalurkan bagi memartabatkan pendidikan Islam diyakini mampu melahirkan modal insan berilmu, berakhlak dan berkemahiran tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurutnya, agihan zakat wakalah itu juga mencerminkan keistimewaan simpanan di TH, di mana keuntungan selepas pelunasan zakat bagi pihak pendeposit diagihkan secara langsung kepada golongan asnaf melalui program berimpak tinggi, khususnya dalam sektor pendidikan.

Sumbangan berkenaan akan diagihkan mengikut nisbah yang ditetapkan, iaitu 40 peratus bagi penambahbaikan kemudahan sekolah, 40 peratus untuk bantuan kewangan termasuk pembayaran yuran pelajar fakir miskin, dan 20 peratus bagi bimbingan akademik serta latihan guru.

TH berharap sumbangan itu dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa serta meningkatkan keberkesanan pengurusan dan operasi sekolah pendidikan Islam, selain memperkasa pembangunan komuniti dan mobiliti sosial secara menyeluruh.

WhatsApp
Scroll to Top