TH BUKA RAYUAN HAJI 1447H/2026M MULAI 3 NOVEMBER

KUALA LUMPUR, 28 Okt (IKIM) – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah haji bagi musim 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi akan dibuka mulai 3 November ini melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI.

Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, berkata pembukaan awal proses rayuan itu bertujuan memberi ruang kepada bakal haji membuat persediaan dengan lebih awal dan memastikan urusan rayuan dapat dilaksanakan secara teratur.

Menurut beliau, beberapa kriteria akan diambil kira dalam pertimbangan permohonan luar giliran, termasuk tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan akaun TH, kekerapan rayuan, serta kehadiran ke Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh Tabung Haji.

“Permohonan rayuan dibuka kepada pendeposit yang mempunyai simpan minimum RM15,000 dalam akaun TH masing-masing,” jelas beliau dalam kenyataan semalam.

Tambahnya lagi, kadar bayaran haji bagi jemaah yang terpilih melalui proses rayuan ialah RM33,300, iaitu kadar penuh kos haji bagi musim 1447H/2026M, selaras dengan konsep istito‘ah atau kemampuan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH turut memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia, serta jemaah kelainan upaya (OKU) yang telah terpilih untuk menunaikan ibadah haji.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat semakan kategori serta status rayuan melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang www.thijari.com.my.


Pertanyaan lanjut juga boleh diajukan melalui Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 atau layari.www.tabunghaji.gov.my

Foto: FB Tabung Haji

WhatsApp
Scroll to Top